FIFA nafi sedang menilai peraturan baru, tiada langsung cadangan sedemikian

FIFA Logo
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Badan induk bolasepak dunia, FIFA, menafikan laporan yang tersebar meluas mengatakan mereka sedang membuat penilaian terhadap beberapa peraturan baru melalui penganjuran The Future Football Cup yang sedang berlangsung di Belanda.

“FIFA mahu menjelaskan mengenai laporan mengelirukan yang sedang tersebar di media sejak beberapa hari lalu mengenai niat FIFA untuk menguji beberapa perubahan pada peraturan permainan di sebuah kejohanan remaja yang sedang berlangsung di Belanda.

“FIFA boleh mengesahkan bahawa ketika ini tiada sebarang niat untuk menguji mana-mana perubahan yang dinyatakan di dalam laporan yang tersebar, malah ia juga tidak pernah langsung dibincangkan sama ada secara dalaman di FIFA mahupun bersama rakan kongsi kami IFAB,” menurut kenyataan FIFA.

FIFA Statement
FIFA Statement

Laporan media sebelum ini menyatakan FIFA mahu membuat penilaian terhadap lima peraturan baru sebagai langkah modenisasi dan menjadikan bolasepak lebih menarik untuk dimainkan.

Peraturan-peraturan tersebut adalah tiada had pertukaran pemain; lima minit penggantungan jika menerima kad kuning; masa permainan berhenti jika bola keluar dari permainan; 30 minit untuk setiap separuh masa; dan lontaran ke dalam dibuat menggunakan kaki.

Ia menerima reaksi yang pelbagai daripada peminat dan penyokong sukan nombor satu dunia itu malah living legend bolasepak tanah air, Khalid Ali turut berkongsi pendapatnya mengenai pembaharuan yang mahu dibuat itu.

Menurut Khalid Ali, beliau bersetuju dengan beberapa cadangan termasuklah cadangan tiada had pertukaran pemain kerana apabila semua pemain dapat peluang bermain, sekurang-kurangnya pemain yang dibayar gaji dapat bekerja di atas padang.

“Perbelanjaan dalam sebuah pasukan tinggi dan semua pemain dibayar jadi cadangan itu (tiada had pertukaran) cukup baik kerana ia boleh beri peluang kepada semua pemain beraksi dan tidak hanya tertumpu kepada tiga atau lima pemain sahaja.

“Kalau tidak pemain simpanan ini akan bermain sebagai sparring partner saja sedangkan kemampuan pemain utama dan simpanan tidak jauh beza, mungkin cuma 10 hingga 20 peratus sahaja.

“Menghentikan waktu permainan ketika bola di luar kawasan juga baik kerana sebelum ini banyak pasukan suka melambat-lambatkan permainan disebabkan mendahului dan sebagainya. Sepatutnya peraturan ini kena guna dari dulu lagi macam sukan hoki,” kata Khalid Ali kepada Arena Metro beberapa hari lalu.

Begitupun Khalid Ali yang membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 tidak bersetuju dengan cadangan 30 minit untuk setiap separuh masa dan lontaran ke dalam dibuat menggunakan kaki.

“Kalau nak pendekkan main 30 minit setiap babak, dah macam perlawanan pemain veteran. Kalau macam itu saya pun boleh main bola semula, bekas pemain nampaknya boleh main balik.

“Biasanya pemain profesional boleh bertahan selama sejam dalam setiap babak, jadi saya rasa tak perlu dipendekkan waktu permainan itu.

“Begitu juga dengan lontaran menggunakan kaki yang saya lihat akan menghilangkan seni dalam bola sepak. Keunikan bola sepak salah satunya lontaran ke dalam di mana ada sesetengah pemain mampu membuat lontaran jauh ke tengah padang,” ujarnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.