Frank Bernhardt terima natijah prestasi buruk

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Uitm FC Frank Bernhardt menjadi jurulatih kedua direhatkan susulan prestasi buruk pasukan di dalam Liga Super 2021.

Selepas tujuh perlawanan diharungi, Uitm FC adalah satu-satunya pasukan yang belum mencatat kemenangan dengan hanya berupaya mengutip satu mata hasil keputusan seri menentang Penang FC manakala enam lagi perlawanan berkesudahan tewas.

Peluang terbaik skuad the lion troops menamatkan kemarau kemenangan adalah ketika menentang Perak FC pada Rabu lalu, di mana mereka mendahului 2-0 pada satu ketika menerusi jaringan Nana Poku, tetapi akhirnya berputih mata apabila skuad bimbingan Chong Yee Fatt menterjemahkan kebangkitan untuk menang 3-2.

Penolong jurulatih Wan Mustafa Wan Ismail turut menerima nasib sama tatkala bekas pemain kebangsaan Reduan Abdullah yang juga bekas penolong jurulatih kebangsaan dilaporkan akan membimbing pasukan itu untuk perlawanan seterusnya.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi dari Uitm FC mengenai perkara ini.

Sebelum ini ketua jurulatih Sri Pahang Thomas Dooley dan pembantunya Cristopher Gamel menjadi mangsa pertama prestasi buruk apabila direhatkan susulan kekalahan dialami pasukan itu dalam dua perlawanan pertama Liga Super musim ini iaitu tewas kepada Selangor dan Perak.

Kedua-dua mereka bagaimanapun tidak dipecat sebaliknya kini terlibat dengan pasukan Piala Presiden Sri Pahang FC.

Pengendali Sabah FC Kurniawan Dwi Yulianto juga pernah diberikan amaran keras oleh pihak pengurusan setelah gagal menang dalam empat perlawanan pertama dan dia mempunyai beberapa perlawanan untuk merubah masa depannya bersama sang badak.

Selain kesemua mereka, turut berada dalam perhatian adalah pengendali Selangor FC Karsten Neitzel susulan prestasi yo-yo pasukan itu yang setakat ini tidak menampilkan potensi sebenar selaku pencabar kejuaraan.

Skuad Red Giants hanya menang dua dan seri dua dalam tujuh perlawanan, terbaru tewas 1-2 kepada Kedah Darul Aman FC menyebabkan mereka semakin tergelincir dalam kedudukan liga sekaligus menimbulkan kebimbangan terhadap kedudukan Karsten Neitzel.

Pengendali itu bagaimanapun hanya tergelak ketika diajukan soalan itu oleh wartawan baru-baru ini sebaliknya menegaskan pasukannya semakin menunjukkan peningkatan malah dia juga gembira dengan prestasi pemain muda.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.