Jurulatih Selangor, B.Sathianathan seorang yang mempunyai minat cukup mendalam terhadap bidang masakan.
Dalam satu laporan oleh The Star Online, Sathianathan mendedahkan beliau pernah bercita-cita untuk menjadi seorang chef terkemuka.
“Ketika zaman sekolah, memang itulah keinginan saya, ingin menjadi seorang chef. Apabila melihat di dalam majalah, anda boleh melihat mereka nampak sangat kemas dalam uniform putih dan topi chef mereka.
“Saya beritahu ayah saya mahu pergi ke Switzerland untuk belajar seni kulinari (masakan) tetapi beliau memberitahu hanya mampu menghantar saya belajar di India. Jadi saya lupakan hasrat itu.
“Saya buat keputusan untuk belajar di dalam negara sahaja dan ketika itulah saya datang ke Seremban dari Johor untuk belajar senibina.
“Satu hari saya sedang bermain bolasepak di padang, ketika itulah jurulatih Negeri Sembilan Paul Nathan mengesan bakat saya dan menawarkan tempat kepada saya dalam skuad Negeri Sembilan, bermula lah karier saya dalam bolasepak,” ujar Sathianathan yang juga bekas jurulatih pasukan kebangsaan.
Meskipun tidak pernah terlintas akan menempa nama dalam arena bolasepak, Sathianathan mengorak langkah jauh dalam bidang ini; dari seorang pemain dan kemudian terjun ke bidang kejurulatihan.
Beliau antara jurulatih dengan kelayakan tertinggi, bukan sahaja mempunyai Lesen Kejurulatihan Professional AFC tetapi turut memiliki Lesen A Jerman, Diploma Kejurulatihan Brazil dan meletakkan namanya sebagai salah seorang jurulatih berprofil tinggi.
Dalam pada itu, Sathianathan menjelaskan walaupun tidak dapat meneruskan cita-cita menjadi chef, ia tidak pernah membunuh minatnya untuk memasak dan beliau mempunyai kepakaran dalam menyediakan pelbagai jenis makanan tradisi Malaysia dan juga barat.
“Ibu saya adalah inspirasi saya, saya selalu membantunya memotong sayuran. Kami tinggal di kampung Melayu, jika ada kenduri, saya akan turut membantu persiapan, biasanya menghiris kentang dan sebagainya.
“Saya gemar memasak rendang ayam, perratal ayam, perratal kambing. Saya juga suka buat kuih Melayu dan anak saya suka spagetti. Dia selalu minta saya masakkan spageti udang, ketam, ham, lobster. Dia memang pencinta masakan barat.
“Resipi saya adalah daripada ibu dan isteri saya. Kadang-kadang saya cuba resipi dari youtube. Saya sentiasa mahu cuba memasak masakan Perancis, perlu ada skill tersendiri untuk sediakan masakan Perancis dan ia bukan mudah.”
Sathianathan berkata penangguhan Liga Malaysia sejak lebih dua bulan telah memberi peluang kepadanya untuk lebih mendekatkan diri dengan hobinya itu dan ia dilihat sebagai terapi terbaik untuk memperkasa ikatan kekeluargaan.
Kredit : The Star Online