Gagal lunas tunggakan seperti diarahkan, Melaka United berdepan hukuman FIFA

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelab Bolasepak Melaka United nampaknya bakal dikenakan hukuman sekatan perpindahan oleh FIFA dek kegagalan mereka melunaskan tunggakan gaji dalam tempoh ditetapkan kepada bekas pemain import mereka Narrupon Wild.

Pasukan itu sebelum ini diberikan tempoh 45 hari bermula 11 November untuk membayar pemain dari Thailand itu RM241,726.69 tetapi sudah hampir dua bulan berlalu dia masih menanti pembayaran untuk dibuat.

“Kami telah menerima maklumbalas dari FIFA, dan mereka mengambil maklum bahawa Melaka United tidak mematuhi arahan pembayaran sepertimana diputuskan.

“Hakim DRC (Majlis Penyelesaian Pertikaian FIFA) menyebut akibat daripada itu akan membawa kepada larangan pendaftaran pemain sehingga jumlah penuh diselesaikan dan di bawah Perkara 6 keputusan tersebut, badan induk kepada penghutang (Persatuan Bolasepak Malaysia) perlu melaksanakan sekatan itu pada permulaan tempoh pendaftaran,” kata Narrupon kepada NST Sports.

Penghakiman oleh FIFA menyatakan bahawa selain tunggakan gaji, tidak dapat dibuktikan dengan jelas Melaka United telah berunding dan mencapai persetujuan bersama dengan pemain di dalam mengenakan pemotongan gaji 30 peratus ketika liga ditangguhkan disebabkan Covid-19 malah mereka juga gagal menyediakan bukti mengenai perlindungan insurans.

“Berdasarkan maklumat di dalam  fail, kelab memutuskan secara satu pihak untuk menangguhkan kontrak pemain dan mengenakan pengurangan gaji sebanyak 30 peratus.

“Menerusi dokumen bertarikh 20 April yang dihantar bersama-sama maklumbalas pihak kelab, dinyatakan dengan jelas tiada persetujuan dicapai dengan pemain untuk pemotongan gajinya. Hakim DRC menyebut bahawa jumlah yang dibayar kelab selepas penangguhan dan/atau penamatan adalah imbuhan tertunggak berdasarkan kontrak.”

Sebagai rekod, Narrupon atau dikenali sebagai Nazza menyertai Melaka United pada bulan Februari 2020 dan meninggalkan pasukan itu pada Julai berikutan masalah tunggakan gaji sebelum membuat keputusan membawa isu tersebut ke pengetahuan FIFA.

Baca : Mental terganggu, hubungan dengan isteri tegang, Narruphon heret Melaka United ke FIFA

“Saya berada dalam satu kedudukan dan situasi yang menjejaskan kewangan, mental dan kesihatan saya dengan teruk.

“Ia turut memberi tekanan kepada isteri saya yang mengandung (ketika itu) dan membuatkan hubungan kami menjadi tegang.

“Peguam saya telah cuba berhubung dengan mereka (MUSA) dan menghantar surat rasmi bagi mencari solusi tetapi tiada jawapan.

“Mereka berterusan menabur janji tetapi tidak menunaikannya, jadi saya terpaksa ambil satu keputusan demi kegembiraan dan kesejahteraan keluarga saya yang melalui separuh pertama 2020 yang cukup sukar dengan situasi yang melanda ini.

“Perkara yang berlaku di luar padang sesuatu yang cukup menyeksakan dan saya tidak mahu ada pemain lain lalui situasi sama. Saya telah banyak belajar mengenai bolasepak Malaysia.

“Badan induk bolasepak dunia dan pengelola liga telah menetapkan undang-undang dan peraturan permainan. Jika ia tidak dikuatkuasa atau dipatuhi, pemain akan diambil kesempatan dan hidup mereka akan hancur,” ujarnya selepas meninggalkan pasukan ketika itu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.