Gagal Teruk Jika Harimau Malaya Pulang Awal Setelah Canang Boleh Mara Ke Final

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Indonesia pada 19 Disember depan akan menjadi penentu kemaraan skuad Harimau Malaya ke separuh akhir Piala AFF 2020.

Jika sebelum ini skuad Tan Cheng Hoe gah memimpin carta kumpulan dengan enam mata hasil kemenangan ke atas Kemboja dan Laos, kini ceritanya sudahpun berbeza susulan kekalahan kepada Vietnam.

Harimau Malaya jatuh ke tempat ketiga di belakang Indonesia dan Vietnam menerusi beza jaringan, justeru kita tiada pilihan, wajib menang ke atas Indonesia, ataupun boleh mengucapkan selamat tinggal.

Pastinya ia pedih dan dan boleh dianggap satu kegagalan besar jika tersingkir di peringkat kumpulan setelah mencanangkan keyakinan boleh mara sehingga ke perlawanan akhir.

Misi memburu kemenangan juga menjadi lebih sulit, dengan perkhabaran dua tonggak pertahanan Aidil Zafuan dan Shahrul Saad mengalami kecederaan dan berdepan kemungkinan tidak dapat diturunkan, begitu juga dengan Junior Eldstal yang masih belum pulih.

Hilang dua pemain sekaligus di jantung pertahanan pastinya bukan berita yang baik, tapi Cheng Hoe tidak mahu panik kerana masih ada kelibat Dominic Tan, pemain berpangkalan di Bangkok serta bintang kacukan Dion Cools untuk dipertaruhkan.

“Doktor dan fisioterapis pasukan akan terus memantau tahap kecederaan kedua-dua pemain ini dari semasa ke semasa sebelum kita membuat penilaian sama ada mereka sempat atau tidak untuk pulih menjelang perlawanan menentang Indonesia nanti.

“Bagi posisi pertahanan tengah ini, kita masih memiliki Dominic Tan yang bebas daripada sebarang kecederaan manakala Dion Cools dijangka melapor diri Khamis ini untuk mengisi posisi pertahanan tengah ini andai Aidil dan Shahrul tidak sempat pulih menjelang perlawanan menentang Indonesia nanti,” kata Cheng Hoe.

Daripada sudut positif, kegusaran semakin reda selepas tiga pemain iaitu Khairulazhan Khalid, Faisal Halim dan Quentin Cheng sudahpun kembali menjalani latihan selepas terpaksa disisihkan kerana positif Covid-19.

Ketiga-tiga pemain itu sudah mendapat surat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Singapura pada Isnin selepas Khairulazhan dan Faisal selesai menjalani tempoh 10 hari perintah pengasingan manakala Quentin pula diberi pelepasan awal selepas tempoh tujuh hari diasingkan berdasarkan keputusan ujian PCR.

Sebagai rekod, dua pertemuan antara Malaysia dan Indonesia dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Malaysia menang kedua-duanya dengan jaringan 3-2 di Bung Karno dan 2-0 di Bukit Jalil.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.