“Gaji bukan kecik, tak logik sampai nak jual motor sebab tertunggak” – CEO Perak FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Tertunggak sebulan jer, bukannya tiga bulan.”

Demikian tegas Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC menafikan kelab itu tidak membayar gaji pemain-pemain dan pegawai pasukan selama tiga bulan, sebaliknya memberitahu gaji tertunggak hanya sebulan iaitu bagi bulan April.

“Gaji untuk bulan Mac sudah dilangsaikan semalam. Bagaimanapun tiga pemain import iaitu Guilherme De Paula, Careca dan Leandro belum dibayar gaji kerana kewangan Perak FC yang tidak mencukupi.

“Beberapa pemain tonggak tempatan pula diberi saguhati RM10,000 seorang manakala baki gaji mereka iaitu bagi bulan April akan dibayar sebelum Aidilfitri. Saya ingin menjelaskan kekeliruan mengenai dakwaan pemain Perak tidak menerima tiga bulan gaji.

“Kita sudah bayar gaji bulan Mac dan akan memastikan tunggakan hanya sebulan,” kata Rizal Ali kepada pemberita pada Jumaat.

Mengenai khabar angin yang tersebar bahawa isu tunggakan gaji menyebabkan ada pemain Perak FC mahu menjual motosikal, ini reaksi Rizal Ali.

“Tidak tahulah saya kebenaran berita ini, memandangkan gaji pemain ini bukannya kecil tetapi puluhan ribu ringgit. Jadi tidak logiklah kalau sampai nak jual motosikal sebab gaji tertunggak,” ujarnya.

Sementara itu, Rizal Ali turut mengesahkan bahawa tonggak pertahanan yang juga ketua pasukan Shahrul Saad serta pemain naturalisasi Guilherme De Paula telah menyatakan hasrat mahu meninggalkan pasukan, justeru akan berbincang dengan ejen kedua-dua pemain.

Menurutnya, setakat ini hanya Selangor FC yang menyatakan minat secara serius terhadap Shahrul Saad walaupun pemain kebangsaan itu sebelum ini hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Sri Pahang.

“Saya kira Selangor bertindak secara profesional dengan menghubungi Perak FC. Saya ingin tahu apa sebenarnya yang dalam perancangan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, belum ada makluman mengenai pasukan yang mahu mendapatkan khidmat De Paula yang berstatus pemain tempatan.

Sebagai rekod, Shahrul Saad atau digelar Badak dalam kalangan rakan sepasukan merupakan produk Piala Presiden Perak dan pernah bermain dengan Harimau Muda serta Felda United sebelum menyertai skuad Liga Super Perak pada 2016.

Manakala De Paula pula pernah bermain dengan beberapa pasukan Liga Malaysia seperti PDRM, Selangor dan Kuala Lumpur sebelum berhijrah ke Perak pada 2020.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.