Gaji Julai sudah dibayar penuh, hutang bayar ansur-ansur

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) telah menyelesaikan bayaran penuh gaji bulan Julai kepada semua anggota pasukan dan memberi jaminan isu tunggakan gaji tidak lagi akan berulang selepas ini.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor turut memberitahu bahawa gaji yang masih tertunggak bagi bulan-bulan terdahulu akan dilunaskan secara beransur-ansur manakala gaji ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dirunding bersama pemain mengikut saranan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau juga memberitahu ada beberapa penaja telah menyatakan kesediaan untuk menghulurkan tajaan.

Ia sekaligus menjadi suntikan motivasi terbaik kepada pemain-pemain menjelang bersambungnya aksi Liga Malaysia pada 26 Ogos nanti.

Selain menyatakan rasa simpati kepada pemain dan pegawai yang mengharungi saat sukar tanpa gaji, Sanusi mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terus komited dan berjuang demi mengharumkan nama negeri Kedah.

Mewakili pemain-pemain, kapten pasukan Baddrol Bakhtiar menyatakan sokongan kepada kepimpinan Sanusi dan menghargai inisiatif diambil KFA untuk membayar gaji bulan Julai terlebih dahulu.

Baca : Sanusi persoal kenapa bekas Presiden KFA tawar gaji pemain sehingga RM125,000 

Baca : Penyokong Kedah terkilan dengan Presiden, bolasepak juga hak rakyat

Sementara itu, jurulatih Kedah, Aidil Shahrin Sahak pula gembira dengan motivasi yang semakin pulih dalam kalangan pemainnya dan berpendapat persiapan pasukan dalam landasan terbaik selepas bangkit menewaskan UKM FC 3-1 dalam aksi persahabatan.

Ia kemenangan sulung selepas tewas 1-2 kepada Perak II pada minggu lalu.

“Ini merupakan perlawanan kedua dalam tempoh lima bulan dan saya rasa UKM sebuah pasukan yang bagus kerana mempunyai ramai pemain muda berbakat.

“Objektif kami bukannya kemenangan semata-mata namun untuk pastikan pemain kembali dapatkan kecergasan selain berikan peluang untuk semua pemain turun bermain.

“Saya pertaruhkan kombinasi Fadzrul Danel dan Baddrol (Bakhtiar) di bahagian tengah dan mereka menunjukkan persefahaman yang baik malah ini satu percubaan saya untuk melihat mereka benar-benar bersedia untuk hadapi perlawanan sebaik bersambung nanti.

“Peluang untuk semua pasukan terbuka dalam hadapi baki tujuh ke lapan perlawanan yang akan datang dan Kedah mahu fokus satu persatu, cuma paling penting kami mesti dapatkan tiga mata pada perlawanan pertama menentang PDRM dan daripada situ kita akan lihat sejauh mana peluang kami,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.