Gandingan Hashim Mustapha-Azman Adnan gagal menjadi realiti di Kelantan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hashim Mustapha, nama yang cukup popular dan ikonik dalam kalangan penyokong bolasepak tempatan khususnya Kelantan pada 1990-an.

Memenangi kasut emas Liga Perdana selama dua musim berturut-turut pada 1993 (13 gol) dan 1994 (25 gol), Hashim mengukuhkan reputasi selaku penyerang terbaik tempatan ketika itu.

Pada masa sama, Azman Adnan, penyerang berbisa yang mencuri tumpuan kerana perpindahan sensasi dari Kuala Lumpur ke Selangor pada 1992 dengan nilai perpindahan kira-kira RM500,000 juga sedang mengharungi karier gemilang bersama gergasi merah kuning.

Dua nama hebat, bagaimana jika mereka digandingkan dalam satu pasukan? Itulah yang cuba dilakukan Kelantan.

Selepas berakhir musim 1994 yang mana Kelantan sekadar menduduki tangga kesembilan Liga Perdana dan gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Malaysia, Kota Darulnaim Sdn Bhd yang menguruskan pasukan sang kijang telah cuba memancing Azman Adnan untuk digandingkan dengan Hashim Mustapha bagi mengharungi saingan musim baru.

Selain Azman Adnan, seorang lagi pemain yang cuba dipancing adalah tonggak tengah Shahrin Majid.

Tidak ada maklumat lengkap mengenai tawaran daripada Kelantan, tetapi ia telah menimbulkan kemarahan Pengurus Selangor ketika itu Datuk Mohd Aini Taib.  Ditambah pula ketika itu Kelantan dan Selangor ‘tidak ngam’ berikutan insiden panas di Stadium Merdeka beberapa bulan sebelum itu, Datuk Mohd Aini menyifatkan Kelantan sengaja cuba menganggu konsentrasi pemainnya dan tidak berminat mengadakan rundingan bagi membincangkan perkara itu.

Dengan Azman Adnan yang merupakan pemain berprofil tinggi tanah air ketika itu masih mempunyai kontrak sehingga hujung 1997  justeru adalah tidak munasabah Selangor yang merupakan antara pasukan paling berjaya dalam Liga Malaysia melepaskan ‘top star’ mereka, lebih-lebih lagi kepada sebuah pasukan kecil seperti Kelantan yang tidak ada sebarang sejarah gemilang selain layak ke separuh akhir Piala Malaysia 1993.

Usaha itu ternoktah, gandingan Hashim Mustapha-Azman Adnan gagal menjadi realiti di Kelantan. Azman Adnan kekal mencipta gemilang bersama Selangor sehingga 1998 di mana dia menyumbang 147 gol secara keseluruhan untuk pasukan itu dan menjulang Piala Malaysia tiga kali (1995, 96, 97) selain Piala FA 1997.

Manakala Hashim Mustapha menjaringkan 11 gol pada musim 1995 bersama Kelantan sebelum berhijrah ke Kedah dan kembali mewakili Kelantan pada 1998.


Mencari bantal hotel pada harga kilang, wassap sahaja Syaza Salahimi.

Sumber dan rujukan tambahan : chedinsphere.blogspot.com; Foto ehsan : Retro Bolasepak

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.