Gandingan Luqman Hakim-Hadi Fayyadh Diharap Menonjol Di Piala Asia B-23

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jika Malaysia menyimpan hasrat mahu menyerlah di Piala Asia B-23 yang bermula Rabu, mereka perlu untuk menajamkan sentuhan penyudah, barisan serangan tidak boleh terus buntu dan membazirkan peluang jaringan.

Justeru itu dua penyerang sensasi yang berpangkalan di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin (Belgium) dan Hadi Fayyadh Abd Radzak (Jepun) perlu berada pada prestasi terbaik mereka.

“Bagi saya, setakat ini kekurangan kita dari segi penyudah. Tapi saya tengok Luqman Hakim dan Hadi Fayyadh, mereka dahagakan dari segi melakukan penyudah. Saya juga nampak kebanyakan pemain sudah buat latihan tambahan untuk penyudah,” kata kapten pasukan, Mukhairi Ajmal Mahadi sebelum skuad B-23 negara terbang ke Uzbekistan.

Malaysia akan membuka kempen Piala Asia B-23 menentang Korea Selatan pada 2 Jun, disusuli aksi menentang Thailand pada 5 Jun dan menutup saingan kumpulan dengan bertemu Vietnam pada 8 Jun.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telahpun memberitahu bahawa tiada sasaran diletakkan ke atas mereka dan pemergian ke Uzbekistan adalah sekadar untuk pendedahan.

Skuad muda negara tampak agak solid di barisan pertahanan dan tidak dinafikan itu adalah kekuatan mereka ketika bermain di pusingan kelayakan Piala Asia B-23 pada tahun lalu, tetapi jangan lupa skuad Brad Maloney hanya menjaringkan dua gol ketika itu.

Dan masalah penyudah itu sehingga kini ibarat tiada penyelesaian, apabila mereka hanya mampu menjaringkan satu gol ketika Piala AFF B-23 yang sekaligus menyaksikan dua kali diaibkan Laos.

Ia kemudian terus menghantui skuad negara di Sukan SEA 2021 baru-baru ini – walaupun berjaya menjaringkan 10 gol secara keseluruhan yang mana Luqman Hakim dan Hadi Fayyadh menjaringkan tiga gol masing-masing, mereka sepatutnya boleh melakukan lebih baik.

Ketumpulan penyudah yang membazirkan deretan peluang menyaksikan Malaysia gagal untuk menewaskan Singapura dan Kemboja di peringkat kumpulan, dan selepas itu terus buntu untuk mendapatkan jaringan ketika menentang Vietnam (separuh akhir) dan menjaringkan satu gol bertemu Indonesia (penentuan gangsa).

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.