Gantung Natxo Insa hingga hujung musim, beranikah FAM berbuat demikian?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tindakan pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT) Natxo Insa menyerbu dan menolak pengadil perlawanan sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati ketika perlawanan menentang Perak FC pada Ahad lalu, wajar dikenakan hukuman berat.

Bukan sekadar layangan kad merah tetapi penggantungan sehingga 12 bulan, atau akhir musim!

Demikian pandangan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh yang berpandangan badan induk itu tidak boleh bertolak ansur dengan kelakuan ganas terhadap pengadil yang semakin menjadi-jadi.

Pada ketika FAM belum pun membuat keputusan mengenai hukuman ke atas Jack Hindle (pemain import Kelantan FC) yang menolak pengadil secara agresif sehingga jatuh tergolek dalam aksi sulung Liga Premier, giliran Natxo Insa pula mencuri tumpuan menerusi tindakannya ke atas Noor Azriel Baharudin.

FAM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Natxo Insa akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib berdasarkan bukti rakaman video, tetapi bagi Subkhiddin yang juga tenaga pengajar FIFA, berani atau tidak FAM mengenakan hukuman berat ke atas pemain itu?

“Insiden Natxo ini sebenarnya ada kaitan dengan tindakan pemain Kelantan yang sebelum itu menolak pengadil juga.

“Maksud saya, apabila sesuatu hukuman itu lambat dikenakan terhadap pemain oleh badan bola sepak, jadi pemain lain tak berasa takut untuk lakukan perkara sama.

“Apa yang dibuat oleh Natxo memang salah dan patutnya dikenakan kad merah kerana cuba berkelakuan ganas kepada pengadil.

“Jika ada pengajaran untuk pemain lain, insiden sama takkan berulang dan sebab itu pelaksanaan hukuman kena tegas dan cepat.

“Ini keganasan terhadap pengadil tidak kiralah di luar perlawanan ataupun di dalam perlawanan.

“Kalau ikutkan peraturan Fifa, pemain yang berkelakuan seperti itu boleh digantung sehingga akhir musim. Persoalannya, adakah pemain ini akan digantung oleh FAM.

“Cuba kita semak balik insiden penjaga gol JDT, Farizal Marlias pada 2017 apabila AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) menggantung penjaga gol itu kerana menolak pengadil.

“Jadi kita (FAM) kena ambil tindakan sama dan jangan takut. Kalau AFC boleh kenapa tidak FAM. Jangan sampai maruah bola sepak negara dimalukan,” kata Subkhiddin seperti dilaporkan oleh Arena Metro.

Foto : Johor Southern Tigers

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.