Gara-gara Pei Jing digugurkan BAM, Tan Kian Meng buat keputusan ‘angkat kaki’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Beberapa hari selepas pemain beregu campuran Lai Pei Jing digugurkan oleh Persatuan Badminton Malaysia, rakan gandingannya Tan Kian Meng membuat keputusan untuk meninggalkan badan induk itu dan bergelar pemain bebas/professional.

BAM pada minggu lalu menyingkirkan Pei Jing bersama-sama pemain perseorangan wanita Soniia Cheah; pemain beregu wanita Vivian Hoo; serta pasangan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai berikutan penilaian prestasi yang dibuat.

Tan Kian Meng bagaimanapun dikekalkan namun dia berpendapat peluang untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyopada Julai depan adalah lebih cerah jika terus bergandingan dengan Lai Pei Jing.

“Saya telah berfikir panjang dan ia satu keputusan sukar, tetapi saya tidak mahu menyesal dengan keputusan ini. Saya percaya kami masih ada peluang untuk ke Sukan Olimpik tahun ini jadi kami mahu teruskan perjuangan.

“Terima kasih kepada BAM kerana mahu terus beri peluang kepada saya kekal dalam skuad kebangsaan, tetapi saya mahu kekal dengan Pei Jing. Kami akan mula berlatih sendiri bagi menyertai tiga kejohanan di Eropah bulan depan walaupun tiada bantuan dana,” kata Kian Meng.

BAM sebelum ini menolak permohonan Lai Pei Jing untuk bantuan kewangan justeru bermakna Kian Meng-Pei Jing akan beraksi di Terbuka Switzerland (2-7 Mac), Terbuka Jerman (9-14 Mac) dan All England (17-22 Mac) yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik dengan menggunakan perbelanjaan sendiri ataupun mencari penaja.

Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria bagaimanapun berkata BAM bersetuju menanggung perbelanjaan Soniia Cheah dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie bagi menyertai saingan Terbuka Switzerland dan Terbuka Jerman bulan depan walaupun mereka sudah digugurkan.

“Mereka mengemukakan permohonan agar mereka diberi masa bagi mencari penaja. Jadi, kami bersetuju untuk menanggung perbelanjaan mereka menyertai dua kejohanan berkenaan. Kalau kita lihat, mereka mempunyai keberangkalian untuk layak ke Sukan Olimpik.

“Saya juga beritahu yang mereka boleh kembali berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dan mendapat segala kemudahan yang disediakan sekiranya layak ke Sukan Olimpik untuk melakukan persiapan,” kata Norza.

Soniia secara teknikalnya layak beraksi di Tokyo kerana memegang status sebagai perseorangan wanita nombor satu negara dengan menghuni ranking ke-32 dunia manakala Soon Huat-Shevon ketika ini berada di kedudukan ke-11 ranking kelayakan Sukan Olimpik.

Dengan pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berada di tangga ketujuh, Soon Huat-Shevon perlu berada dalam kelompok lapan terbaik bagi membolehkan mereka layak beraksi di Tokyo. Setiap negara dibenarkan mempunyai dua pasangan beraksi pada Sukan Olimpik sekiranya berada dalam kelompok lapan terbaik.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.