Gareth Bale memalukan, tidak menghormati Zidane dan Real Madrid

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Cuba untuk menunjukkan rasa tidak puas hati dengan cara memalukan dan tidak professional.

Itu pandangan bekas penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov mengenai gelagat Gareth Bale di bangku simpanan ketika Zinedine Zidane membuat keputusan untuk tidak menurunkannya dalam tujuh perlawanan lalu.

Gelagat Gareth Bale mula menjadi perhatian apabila dia berpura-pura tidur dengan menutup muka menggunakan face-mask ketika Real Madrid menewaskan Alaves dan beberapa hari selepas itu membuat lagak meneropong ketika Real Madrid menewaskan Granada 2-1.

Tindakan itu dipercayai disebabkan dia tidak gembira untuk duduk di bangku simpanan – dia hanya beraksi sekitar 100 minit selepas LaLiga kembali bersambung dan jangan terkejut, tidak langsung beraksi dalam tujuh perlawanan terakhir sejak dikeluarkan Zidane pada perlawanan menentang RD Mallorca pada 25 Jun lalu.

Dia sekadar menjadi pemerhati ketika Real Madrid menewaskan Villareal untuk menjulang gelaran La Liga dan lebih menyedihkan pada aksi terakhir musim menentang Leganes yang berkesudahan seri 2-2 pada awal pagi tadi (20 Julai) namanya langsung tiada dalam senarai.

“Gareth Bale menjadi tumpuan atas sebab yang tidak sepatutnya, sukar untuk percaya dia meletakkan topengnya di mata dan berpura-pura seperti tertidur. Saya tidak boleh menyokong perbuatannya itu. Ia tidak profesional dan tidak menghormati Real Madrid.

 

“Saya suka menonton Bale beraksi dan saya dapat berasakan keperitannya kerana tidak diturunkan kerana saya pernah berada dalam situasi yang sama. Tetapi reaksi seperti itu melampau.

“Real perlu mencari jalan keluar untuk kisah Bale ini. Ia tidak bagus untuk Bale mahupun Real dan ia satu publisiti yang buruk, memalukan.

“Mungkin tiada siapa yang memberi jawapan mengapa dia tidak beraksi, maka dia mencetuskan provokasi melalui tindakan seperti itu, tetapi saya tidak mampu menyokong tindakannya. Sekiranya saya seorang peminat Real Madrid dan melihat pemain tidak menghormati pasukan seperti tindakannya itu, saya sudah hilang hormat padanya,” kata Berbatov kepada Betfair.

Berbatov juga menegaskan satu-satunya solusi buat Gareth Bale yang merupakan bekas rakan sepasukannya di Tottenham Hotspur adalah mencari kelab lain tetapi gaji tinggi yang mencecah £350,000 seminggu dilihat sebagai kekangan terbesar mana-mana pasukan untuk mendapatkan khidmatnya.

“Dia harus mencari jalan penyelesaian walaupun sekadar sebagai pemain pinjaman. Ia adalah satu isyarat yang kuat jika dia berkata: ‘Turunkan saya atau saya akan melakukan apa sahaja yang saya mahukan. Situasi ini tidak sesuai dengan saya’.”

Gareth Bale menyertai Real Madrid pada 2013 dengan bayaran perpindahan £85 juta, yang merupakan rekod perpindahan termahal dunia ketika itu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.