Garis panduan ditetapkan MFL dianggap membebankan, mengarut

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) meminta agar Malaysian Football League (MFL) supaya meneliti semula beberapa garis panduan yang ditetapkan kepada petugas media yang akan membuat liputan saingan Liga Malaysia bermula minggu depan, kerana ia dianggap kurang tepat dan agak membebankan.

Menurut Presiden SAM, Datuk Jasni Shafie, peraturan mewajibkan media terutama jurugambar atau jurukamera untuk membuat ujian RTK Antigen pada setiap perlawanan akan menambahkan lagi kos operasi pihak petugas media dalam masa pandemik ini.

“Setiap kali ujian RTK Antigen anggaran kos RM 100 – 150 perlu dibelanjakan oleh seorang petugas media, bayangkan kos perbelanjaan yang harus ditanggung oleh pihak media pada setiap perlawanan dan jika sepanjang musim.

“Bukan sekadar kos dari segi wang ringgit malah kekangan masa untuk melaksanakan proses ini juga haruskan dititik beratkan.

“SAM sedar MFL selaku pengendali liga bola sepak tempatan sekadar melaksanakan peraturan berdasarkan garis panduan oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara), tetapi pihak berwajib itu harus juga mengambil kira impak kewangan petugas media.

“Larangan wartawan untuk menemubual jurulatih atau pemain ketika latihan juga kelihatan suatu tindakan yang ‘mengarut’ kerana ia sebenarnya boleh diadakan dengan SOP yang sedia ada. Kalau Menteri boleh ditemubual dengan pematuhan SOP tertentu, kenapa ahli sukan tidak dibenarkan?,” ujar Jasni.

Sehubungan itu, Jasni Shafie berkata SAM akan meminta bantuan daripada Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican untuk memanjangkan masalah ini kepada MKN dan KKM agar satu solusi lebih munasabah dapat dicari.

“Media sentiasa bersama untuk mengaktifkan semula aktiviti sukan melalui Gelembung Sukan yang dilaksanakan, tetapi kebebasan dan kemudahan kepada media juga harus dititikberatkan,” ujarnya lagi.

Sebagai makluman, pertembungan di antara Johor Darul Takzim dan Kedah dalam perlawanan sumbangsih merangkap aksi sulung Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim Larkin pada 5 Mac depan akan merasmikan kalendar Liga Malaysia 2021.

Liga dijadual berlangsung selama enam bulan sehingga bulan Ogos depan. MFL sebelum ini telah mengumumkan bahawa saingan musim baru akan membabitkan hanya pertandingan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia tatkala saingan Piala FA pula dibatalkan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.