Gary Steven mahu buktikan Melaka United tak salah pilih pemain

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Gary Steven Robbat mahu membuktikan Melaka United FC tidak membuat pilihan yang salah dengan merekrutnya secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia pada bulan Mei lalu.

Sambil mengakui minit permainan adalah pendorong utama dia memilih menyertai Melaka United, Gary Steven menyifatkan aksi pertama menentang Sri Pahang FC sebaik sahaja Liga Malaysia kembali bersambung cukup penting untuk dia memberikan ‘first impression’ yang baik kepada penyokong dan barisan kejurulatihan.

“Pertama sekali, saya kena pastikan saya dapat kepercayaan yang tinggi daripada jurulatih bahawa saya mampu untuk memberikan sesuatu kepada pasukan.

“Memang minit permainan yang saya cari, tetapi saya nak bina dahulu tahap keyakinan bersama pasukan di sini untuk saya beri komitmen yang tinggi.

“Sasaran awal saya adalah untuk perlawanan pertama menentang Sri Pahang nanti di mana daripada situlah akan dapat menentukan bahawa saya mampu membantu pasukan atau tidak.

“Dekat perlawanan itu nantilah saya akan dapat tunjukkan sejauh mana komitmen saya kepada Melaka,” ujar pemain berusia 29 tahun itu.

Menyedari Melaka United ketika ini berada di zon penyingkiran, Gary Steven tidak menolak cabaran berbeza dialaminya di mana kerja keras amat diperlukan untuk mengembalikan pasukan ke kedudukan yang lebih baik selepas ini.

Jika dibandingkan ketika bersama JDT II, dia menyifatkan persaingan antara rakan sepasukan adalah sama di mana semua pemain tidak kira pasukan mana sekalipun sentiasa beri komitmen yang tinggi untuk bantu pasukan.

“Bagi saya, persaingan itu sama sahaja sebab semua pemain tidak kira dalam JDT II atau Melaka United sekalipun, semua memberikan komitmen yang tinggi dalam latihan.

“Jadi, saya memang kena kerja lebih keras dan saya tidak akan sia-siakan peluang yang diberi dalam pasukan ini.

“Saya punya misi adalah untuk cuba membawa keluar Melaka daripada zon penyingkiran terlebih dahulu kerana itu yang paling penting ketika ini,” tambah Gary Steven yang pernah menjalani latihan di Borussia Dortmund.

Sebagai rekod, Melaka United kini berada di tangga kesebelas Liga Super selepas 13 perlawanan dan hanya berjaya mendapatkan tiga kemenangan sahaja setakat ini.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.