Gary Steven Tersisih 4 Bulan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Perkhabaran kurang gembira buat Melaka United menjelang bermulanya saingan Piala Malaysia apabila mereka sah tidak dapat menggunakan khidmat pemain tengah Gary Steven Robbat.

Gary Steven yang dipinjamkan dari Johor Darul Takzim terpaksa diketepikan kerana kecederaan buku lali yang mana dijangka mengambil masa tiga ke empat bulan untuk pulih sepenuhnya.

Melaka United yang menamatkan cabaran Liga Super 2021 di tangga kelapan juga belum pasti dapat menggunakan khidmat seorang lagi pemain tengah, Ahmad Syamim Yahya yang turut bergelut dengan kecederaan.

“Gary mengalami kecederaan buku lali dan nampak gayanya, dia tidak akan dapat lagi beraksi (buat Melaka). Cuma saya masih berharap Syamim akan sempat pulih dalam dua atau tiga minggu ini.

“Bukan satu kerugian (membawa masuk Gary dari JDT) kerana dia sudah menunjukkan impak yang dibawanya cuma nasib tidak menyebelahinya untuk menghabiskan musim ini bersama pasukan Melaka,” kata pengendali pasukan Zainal Abidin Hassan dalam rancangan Nadi Weekend.

Dalam saingan Piala Malaysia musim ini, Melaka United telah diundi di dalam Kumpulan C bersama-sama naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman dan dua pasukan Liga Premier.

Gary Steven menyertai pasukan Melaka United ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia pada bulan Mei dan secara keseluruhannya hanya bermain tiga perlawanan (kesemuanya tidak beraksi penuh 90 minit).

Penampilan terakhirnya adalah ketika menentang KL City FC pada 31 Julai dan selepas itu pemain berusia 29 tahun ini tidak bermain dalam enam perlawanan terakhir.

Mengikut rekod, sepanjang bersama JDT juga, Gary Steven yang pernah memperkuatkan skuad kebangsaan di Piala AFF Suzuki lebih banyak menghabiskan masa merawat kecederaan sehingga kehilangan tempat dalam skuad utama dan lebih banyak beraksi dengan skuad JDT II.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.