Gelaklah Puas-Puas, Saya Masih TMJ, Masih Berduit, 18 Piala Dalam 8 Tahun

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) tidak sedikitpun ambil kisah kelab bolasepak Johor Darul Takzim serta dirinya menjadi sasaran ‘troll’ di media sosial susulan kekalahan di final Piala Malaysia 2021 pada Selasa.

Sejurus selepas KL City mengesahkan kemenangan 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan menjulang Piala Malaysia edisi ke-100 itu, JDT pantas menjadi bahan ketawa dalam kalangan penyokong kerana mereka dilabel pilihan mutlak dan tidak sesiapapun menyangka akan mengalami kejutan di tangan KL City yang merupakan pasukan kerdil.

Malah, ada yang bertindak begitu berani untuk menggelakkan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor dengan tag beliau di twitter serta instagram.

Bagi Tunku Ismail, beliau bersikap tenang dan menganggap sesiapa sahaja yang mentertawakan kekalahan JDT hanya akan bersifat seketika.

“Haha, encik, esok pagi saya masih Tunku Mahkota Johor, masih $ (berduit). 18 piala dalam 8 tahun. Allah kurniakan saya dengan 4 anak yang hebat, isteri yang hebat. Anda boleh gelak hari ini/seketika, tapi saya akan gelak untuk bertahun-tahun yang akan datang. Saya diberkati,” tulisnya.

Walaupun kalah menang itu adat permainan, troll berlebihan daripada penyokong terhadap JDT pada hakikatnya adalah kerana mereka tidak begitu senang dengan kenyataan-kenyataan sebelum perlawanan daripada kem JDT terutamanya Benjamin Mora yang seolah-olah mendabik dada dan memandang rendah keupayaan KL City.

Pada aksi final itu, KL City bimbingan Bojan Hodak mencatat kemenangan menerusi jaringan Zhafri Yahya dan Paolo Josue masing-masing pada minit ke-66 dan 74.

Ia sekaligus menoktahkan penantian 32 tahun mereka untuk menjulang trofi berprestij berkenaan yang kali terakhir dimenangi pada 1989, manakala bagi JDT pula ini adalah kekalahan kali kedua mereka di pentas final sekaligus gagal mempertahankan kejuaraan dimenangi pada 2019.

Kemenangan buat KL City juga menyaksikan mereka menamatkan kempen kali ini tanpa tewas dan berjaya menyambar tiket beraksi di Piala AFC 2022.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.