Giliran Penang FC pula terlepas peluang himpit JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Nampaknya tiada pasukan yang bernasib baik untuk menghimpit rapat kedudukan pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) selepas berakhir lapan perlawanan.

Jika sebelum ini Terengganu FC, kemudian Kedah Darul Aman, terbaru Penang FC pula terlepas peluang untuk mengecilkan defisit mata dengan skuad harimau selatan yang sedang gah menerajui liga dengan 20 mata apabila sekadar seri 1-1 menentang Sabah FC pada Ahad.

Sebelum perlawanan, Penang FC mengumpul 14 mata (ketinggalan enam mata di belakang JDT) dan kemenangan ke atas Sabah akan menyaksikan mereka memotong KDA seterusnya melonjak ke tangga kedua liga.

Namun skuad bimbingan Thomas Trucha mendapati Sabah begitu liat untuk dijinakkan, malah pasukan Borneo itu mengetepikan seketika kontroversi tepi padang berhubung tunggakan gaji, untuk menyajikan aksi lebih meyakinkan.

Dalam aksi di Stadium Bandaraya itu, separuh masa pertama berakhir dengan terikat tanpa jaringan.

Skuad Kurniawan Dwi Yulianto yang turun tanpa kelibat kapten Rawilson Batuil dan pemain tengah Azzizan Nordin yang dipercayai diketepikan kerana menjadi dalang pemain-pemain memboikot sesi latihan pada Khamis lalu, membuka tirai jaringan enam minit selepas permainan bersambung.

Rembatan Saddil Ramdani daei luar kotak penalti gagal diselamatkan oleh penjaga gol Bryan See, yang diturunkan menggantikan penjaga gol utama Samuel Sommervile.

Penang FC menguasai sebahagian besar perlawanan di separuh masa kedua namun sukar untuk memecahkan kekebalan tembok pertahanan Sabah yang diketuai Risto Mitrevski.

Begitupun usaha bertali arus membuahkan hasil apabila Casagrande menanduk masuk hantaran sepakan sudut untuk gol penyamaan lima minit sebelum tamat permainan.

Keputusan seri ketiga Penang FC musim ini menyaksikan mereka mengumpul 15 mata dan berada di tangga keempat, dipisahkan menerusi beza jaringan dengan Terengganu FC.

Manakala Sabah pula di tangga kesepuluh dengan enam mata.

Terdahulu pada Sabtu, JDT mengukuhkan cengkaman di puncak liga dengan menewaskan PJ City 3-0; KL City menewaskan Sri Pahang 2-1; Selangor FC menewaskan Perak 3-1 dan Melaka United membelasah Uitm FC 3-0.

Manakala Terengganu FC pula bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan KDA 2-1 pada Jumaat.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.