Gol lewat Syamil selamatkan maruah Kelantan FC dari diikat ‘budak sekolah’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Nursyamil Abd Ghani menyelamatkan maruah Kelantan FC apabila jaringan lewat permainannya membolehkan pasukan itu melakar kemenangan 2-1 ke atas skuad Projek FAM-MSN di Stadium Uitm Shah Alam, pada Selasa.

Ia adalah tiga mata sulung skuad Marco Ragini dalam saingan Liga Premier musim ini, selepas terdahulu tewas 0-1 kepada Perak II dalam aksi pembukaan Sabtu lalu.

Manakala bagi skuad Projek FAM-MSN bimbingan Yusri Che Lah ia kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 0-4 kepada Terengganu FC II.

Turun menentang barisan tuan rumah yang mentah pengalaman, Kelantan FC diramal tidak akan berdepan masalah besar melakar kemenangan namun sebaliknya mereka dikejutkan apabila ketinggalan seawal minit ketujuh menerusi jaringan Mohamad Harraz.

Kelebihan itu hanya bertahan dua minit apabila Mior Dani Armin menjaringkan gol penyamaan dan dua jaringan awal itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Ketika skuad Projek FAM-MSN dilihat begitu hampir untuk mencuri satu mata, Nursyamil Ab Ghani muncul wira sekaligus memastikan Kelantan FC tidak dimalukan oleh ‘budak sekolah’.

Perlawanan itu turut disaksikan oleh Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut berkesempatan memantau tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 seperti yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MFL bagi pengelolaan perlawanan Liga Malaysia 2021.

Turut hadir mengiringi Datuk Haji Hamidin adalah Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mohd Joehari Ayub yang juga Pengurus Skuad Projek FAM-MSN, Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee serta pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman.

Sementara itu, dalam aksi Liga Super, tiga perlawanan berlangsung dengan Johor DarulnTakzim dan Terengganu FC masing-masing melakar kemenangan kedua.

JDT yang menewaskan Kedah 2-0 dalam aksi sulung, mencatat kemenangan dengan jaringan sama ke atas Pulau Pinang menerusi jaringan penalti Leandro Velazquez dan Fernando Rodriguez.

Terengganu FC pula menewaskan Selangor 3-1 menerusi jaringan Jordan Mintah, Rahmat Makasuf dan Hakimi Abdullah manakala Selangor membalas menerusi jaringan sendiri Shahrulnizam Ros Hasni.

Kedah mencatat kemenangan pertama menerusi jaringan Kipre Tchetche dan Kpah Sherman.

Foto : TRW Kelantan FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.