Gol masa kecederaan Malik selamatkan satu mata buat Sri Pahang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hajat besar Sri Pahang untuk memulakan aksi pusingan kedua Liga Super 2021 dengan nota kemenangan tidak kesampaian, tatkala gol masa kecederaan Abdul Malik Mat Ariff memastikan mereka meraih satu mata berharga dengan mengikat Selangor FC 2-2 di Stadium Darulmakmur pada Rabu.

Dollah Salleh menurunkan dua daripada empat import baru – Abubakar Yakubu dan Manuel Hidalgo Gasparini – di dalam kesebelasan utama namun tidak banyak impak dicipta kedua-dua pemain di separuh masa pertama yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Separuh masa kedua lebih rancak, empat gol terhasil bermula dengan jaringan Manuel Hidalgo pada minit ke-48 untuk Sri Pahang mendahului 1-0, sebelum pemain dari Myanmar Hein Htet Aung menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-75.

Gol jaringan Ifedayo Olesegun pada minit ke-86 memberi kelebihan 2-1 kepada Red Giants dan ketika mereka sudah bersedia meraikan kemenangan, Abdul Malik menolak masuk hantaran sepakan percuma Hidalgo untuk mengikat kedudukan.

Malang buat Selangor bimbingan Karsten Neitzel, ia adalah sentuhan terakhir dalam perlawanan itu.

Keputusan seri menyaksikan Selangor FC kekal di tangga kelima manakala Sri Pahang kekal di tangga kesebelas dengan sembilan mata.

Sementara itu, Sabah FC pula melebarkan rekod tanpa kalah kepada lima perlawanan setelah melakar kemenangan 3-1 ke atas Melaka United di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Ini adalah kemenangan keempat buat skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto dan kali pertama mereka menang dua perlawanan berturut-turut musim ini, melonjakkan mereka ke tangga ketujuh dengan 16 mata.

Penyerang veteran Amri Yahyah mencuri tumpuan apabila meledak dua jaringan pada minit keenam dan 47 manakala satu lagi gol dijaringkan Azzizan Nordin pada minit ke-16 untuk Sabah FC mendahului 3-0, sebelum Fakhrullah Rosli menjaringkan gol saguhati buat Melaka United pada minit ke-65.

Kekalahan kelima buat Melaka United menyaksikan mereka kini menghuni tangga ketiga tercorot.

Dalam satu lagi aksi, jaringan tunggal pemain pinjaman, Sergio Aguero membantu Perak FC menewaskan PJ City FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya sekaligus menamatkan kemarau kemenangan dalam empat perlawanan lalu.

Kemenangan membantu skuad kendalian Chong Yee Fatt melonjak ke tangga kesembilan dengan 12 mata.

Kredit foto : Sri Pahang FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.