Gol penalti Safawi bantu Harimau Malaya noktahkan kemarau kemenangan!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Harimau Malaya akhirnya menoktahkan kemarau kemenangan, setelah menewaskan Thailand 1-0 dalam perlawanan terakhir pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal pagi Rabu.

Kemenangan membantu skuad negara menamatkan aksi Kumpulan G di tangga ketiga dengan 12 mata seterusnya mara beraksi di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023, yang akan  berlangsung membabitkan 24 pasukan.

Harimau Malaya turun menentang Thailand, dengan rekod buruk tewas kesemua empat perlawanan terdahulu – dua aksi persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain, serta dua aksi pusingan kelayakan menentang Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam.

Justeru mereka sedar hanya kemenangan boleh mengubat kecewa penyokong dan menjadi saguhati terbaik dari bumi Dubai.

Pada perlawanan di Stadium Al Maktoum itu, Tan Cheng Hoe membuat keputusan berani melakukan enam pertukaran ke dalam kesebelasan utama yang tewas kepada 1-2 Vietnam pada Sabtu lalu.

Syahmi Safari, Nor Azam Azih dan Arif Aiman Hanapi mengambil tempat Corbin Ong, Syamer Kutty Abba dan Mohamadou Sumareh yang digantung perlawanan.

Manakala Khairul Azhan Khalid, Nazmi Faiz Mansor dan Akhyar Rashid pula menggantikan Farizal Marlias, Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid.

Permainan separuh masa pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mencipta peluang namun ketiadaan sentuhan penyudah menyaksikan masing-masing gagal memecah kebuntuan dan masuk ke bilik persalinan terikat tanpa jaringan.

Separuh masa kedua bersambung dengan Tan Cheng Hoe memasukkan Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad, menggantikan Arif Aiman dan Brendan Gan.

Minit ke-55 pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas Safawi Rasid ditolak Ernesto, dan dia sendiri menyudahkan sepakan untuk gol pendahuluan yang kekal sebagai gol tunggal perlawanan.

Safawi Rasid bagaimanapun boleh dianggap bernasib baik kerana penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom sudah berjaya menepis sepakan itu namun tidak cukup kuat untuk menyelamatkannya dari masuk ke gawang.

Thailand mula agresif selepas Malaysia mendahului, dan hampir sahaja menyamakan kedudukan dua minit kemudian namun tandukan Titiphan Puangjang terkena palang, manakala sepakan susulan Sumanya Purisai pula diselamatkan Khairul Azhan.

Skuad negara beroleh peluang terbaik menambah jaringan pada minit ke-65, namun sepakan Guilherme De Paula yang menerima hantaran Syafiq Ahmad melambung melewati palang.

Skuad kendalian Akira Nishino mengambil alih penguasaan selepas itu, dan melancarkan serangan bertali arus untuk mencari gol penyamaan – mereka hanya memerlukan seri untuk mengesahkan tempat ketiga – namun Harimau Malaya ampuh bertahan untuk memastikan tiga mata.

Sementara itu, UAE muncul juara Kumpulan G setelah melakar kemenangan keempat berturut-turut dengan menewaskan Vietnam 3-2.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.