Gol ‘tangan tuhan’ bawa nama Shukor Adan ke dalam buku sejarah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain veteran, Shukor Adan memahat nama dalam buku sejarah sebagai penjaring gol tertua Liga Malaysia dengan cara yang cukup tidak popular.

Pemain berusia 42 tahun itu menjaringkan gol penyamaan buat Kuala Lumpur City pada masa kecederaan untuk mengikat Uitm FC 1-1 dalam aksi ke-12 Liga Super di Stadium Uitm, Shah Alam pada Sabtu.

Apa yang menjadi kontroversi, Shukor Adan dilihat menggunakan tangan untuk menolak masuk hantaran sepakan percuma rakan sepasukan, walaupun dibantah oleh pemain-pemain Uitm namun pengadil mengesahkan gol itu yang sekaligus menafikan kemenangan pertama buat skuad bimbingan Frank Bernhardt.

Shukor Adan mengatasi rekod selama 15 hari yang dipegang penyerang veteran Sabah FC, Amri Yahyah yang meledak gol pertamanya musim ini ketika perlawanan menentang Selangor FC pada 24 April lalu.

Pada perlawanan itu, Uitm FC yang memburu kemenangan sulung mendahului 1-0 pada minit ke-84 menerusi jaringan Kwon Yong Hyun dan pada ketika ia dilihat akan menoktahkan penantian panjang skuad ‘the lion troops’, gol ‘tangan tuhan’ Shukor Adan mengecewakan mereka.

Dalam aksi di Stadium Bandaraya, Johor Darul Takzim melakar kemenangan mudah 3-0 ke atas Penang FC.

Jaringan Safawi Rasid dan Bergson da Silva meletakkan skuad Benjamin Mora 2-0 di depan pada separuh masa pertama, manakala Mohamadou Sumareh menjaringkan gol pertamanya musim ini pada minit ke-51 untuk menghadiahkan Penang FC kekalahan kedua berturut-turut.

Perlawanan tersebut turut menyaksikan gol Casagrande dibatalkan secara kontroversi pada minit ke-77 dan pemain itu kemudiannya diperintah keluar padang pada minit ke-88 setelah menerima layangan kad kuning kedua.

Kemenangan membolehkan JDT selesa di puncak dengan 30 mata.

Dalam satu lagi aksi, Kedah FC bangkit daripada kekalahan kepada JDT minggu lalu untuk menewaskan Sabah FC 1-0 di Stadium Likas, dalam perlawanan yang berlanjutan ke tengah malam susulan ditangguhkan hampir sejam akibat hujan lebat.

Jaringan tunggal Kpah Sherman menghadiahkan kemenangan kelapan buat skuad bimbingan Aidil Shahrin Sahak sekaligus menyekat hasrat Sabah FC kendalian Kurniawan Dwi Yulianto melakar kemenangan ketiga berturut-turut.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.