Gonzalo Cabrera Tidak Boleh Didaftar Sebagai Pemain Tempatan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Spekulasi mengenai kepulangan semula Gonzalo Cabrera ditutup Johor Darul Takzim, menerusi kenyataan dibuat oleh Pengarah Teknikal kelab itu, Alistair Edwards.

Sebelum ini ramai yang membuat andaian Gonzalo Cabrera adalah salah seorang daripada empat pemain yang akan dibawa masuk skuad harimau selatan di pintu perpindahan kedua, kali ini atas tiket sebagai pemain tempatan berikutan telah genap lima tahun dia bermain di Liga Malaysia.

Tetapi ini penjelasan oleh Alistair Edwards.

“Saya ingin menyangkal dakwaan yang tular mengenai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin menandatangani semula Gonzalo Cabrera sebagai pemain naturalisasi.

“Kelab telah membuat keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera kerana Malaysia Football League mempunyai peraturan bahawa pemain naturalisasi bukan warisan perlu menjadi warganegara Malaysia untuk lima tahun selepas mendapat kerakyatan sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan, melainkan di bawah program naturalisasi kebangsaan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia.

“Oleh itu, JDT mengambil keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera memandangkan beliau akan berusia 38 tahun selepas lima tahun tersebut,” kata Alistair.

Sebagai rekod, Mohamadou Sumareh yang merupakan pemain naturalisasi pertama negara telah menetap di Malaysia sejak usianya 13 tahun sebelum mendapat kerakyatan pada usia 24 tahun justeru FAM ketika itu memutuskan dia tidak perlu menunggu lagi lima tahun untuk mendapat taraf pemain tempatan.

Namun, ia tidak terpakai pula dalam kes Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula yang mana terus mendapat taraf pemain tempatan setelah bergelar naturalisasi.

Dalam saingan Liga Malaysia, terdapat beberapa lagi pemain yang dalam proses untuk dinaturalisasikan antaranya dua pemain Sri Pahang, Lee Tuck dan Sergio Aguero namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan mengenai status mereka.

Justeru dengan penjelasan oleh Alistair mengenai situasi Gonzalo Cabrera ini, ia memberi jawapan kepada kita mengenai punca kenapa Sri Pahang belum dapat mendaftarkan dua pemain itu. Nak daftar sebagai import macam rugi, manakala nak daftar sebagai tempatan pula tak cukup tempoh!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.