Gopi : ‘Saya diberitahu melalui telefon khidmat sudah tidak diperlukan’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain sayap, Gopi Rizqi Rama Chandra antara yang tidak disambung khidmatnya oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) bagi mengharungi saingan musim baru Liga Malaysia.

Dia menerima keputusan itu dengan terbuka tetapi mengakui sedikit terkilan hanya sempat menyarung semula jersi pasukan kesayangannya itu cuma semusim.

“Saya menerima panggilan telefon daripada pegawai PBNP baru-baru ini memaklumkan khidmat saya tidak lagi diperlukan musim depan tanpa dinyatakan alasan atau sebab keputusan itu dibuat.

“Saya tidak menyangka sama sekali kontrak bersama Pahang tidak disambung, tapi saya reda jodoh bersama pasukan tidak panjang, mungkin ada hikmah apa yang berlaku. Saya terima dengan hati yang terbuka kerana sebagai pemain profesional episod berkenaan perlu ditempuhi,” katanya dipetik dari BH Sukan.

Sebagai rekod, Gopi Rizqi yang baru sahaja menimang cahayamata sulung pada minggu lalu membina kariernya bersama Pahang di mana dia beraksi selama enam musim dari 2010-2015 dan memenangi beberapa trofi sebelum berhijrah ke Selangor.

Bekas pemain kebangsaan ini kemudiannya bermain dengan Johor Darul Takzim selama semusim sebelum dipinjamkan ke Melaka United, dan selepas itu menyertai PDRM sebelum kembali ke Pahang pada awal musim ini.

Pemain kelahiran Kuantan ini menaruh harapan tetap dapat meneruskan karier bersama pasukan lain dan optimis masih dapat memberikan prestasi terbaik walaupun akan berusia 32 tahun pada 2021.

Selain Gopi Rizqi, beberapa pemain lain yang turut dilepaskan oleh tok gajah adalah empat pemain import iaitu Dickson Nwakaeme, Adam Reed, Ivan Carlos dan Khalil Khamis serta pemain tempatan antaranya Bunyamin Omar, Sharbinee Allawee Ramli, Faisal Halim dan Nik Shariff Haseefy Md Lazim.

Faisal Halim difahamkan telah menyatakan persetujuan untuk menyertai Terengganu FC manakala Nik Shariff pula disambar Selangor.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Suffian Awang sebelum ini memberitahu pasukan itu telah berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain Terengganu FC Lee Tuck dan bekas penyerang Pulau Pinang, Sergio Aguero untuk memperkuatkan pasukan pada musim baru.

Update : Gopi Rizqi mengesahkan telah membuat keputusan untuk mewakili pasukan Sarawak United dalam saingan Liga Perdana pada musim 2021. Selain Gopi antara nama besar lain berjaya dipancing pasukan itu yang kekal dibimbing E.Elavarasan adalah Norshahrul Idlan Talaha, Amer Saidin, Sandro Mendonca, Taylor Reagan, Lee Chang Hoon dan Christie Jayaseelan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.