Goulon kena kad merah tatkala Sri Pahang tewas lagi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Musim malang Sri Pahang FC berterusan apabila mengalami satu lagi kekalahan, kali ini 1-2 di tangan Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman.

Ia adalah kekalahan keempat dalam Liga Super 2021 selepas terdahulu tewas kepada Selangor FC, Terengganu FC dan PJ City FC.

Skuad kendalian Dollah Salleh dilihat berjaya mengimbangi permainan dengan baik pada awal perlawanan tetapi momentum mereka terencat selepas pemain pertahanan Herold Goulon dilayangkan kad merah terus pada minit ke-17 kerana menjatuhkan Kpah Sherman.

Kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya Kedah yang kemudian merebut pendahuluan menerusi kapten pasukan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-37.

Namun kelebihan itu hanya bertahan selama lima minit apabila pemain muda Nur Izzat Che Awang menjaringkan gol penyamaan untuk kedudukan 1-1 di separuh masa pertama.

Kedah bagaimanapun kembali berads di depan menerusi penalti disempurnakan Kpah Sherman pada minit ke-48 sebelum Baddro Bakhtiar menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-71.

Ia kemenangan keempat buat Kedah bimbingan Aidil Shahrin musim ini.

Sementara itu, Johor Darul Takzim pula kembali ke landasan kemenangan setelah menjinakkan Melaka United 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim Larkin.

Baru lapan minit perlawanan berlangsung, JDT bimbingan Benjamin Mora sudah pun 2-0 di depan menerusi tandukan Adam Nor Azlin dan gol Bergson Da Silva hasil kesilapan di barisan pertahanan.

Bergson melengkapkan kemenangan pada minit ke-82 untuk kemenangan keempat buat JDT.

Satu lagi perlawanan berlangsung Jumaat menyaksikan Terengganu FC dan PJ City mencatat keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ini adalah kali ketiga berturut-turut Terengganu FC bimbingan Nafuzi Zain gagal melakar kemenangan selepas bermula dengan cukup baik dalam tiga perlawanan pertama.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.