Jack Grealish : “Jangan cakap saya tak tawarkan diri ambil sepakan penalti”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain tengah England, Jack Grealish tidak bersetuju dengan kritikan bekas kapten Manchester United, Roy Keane yang melabel pemain-pemain senior di dalam pasukan itu sebagai pengecut kerana membiarkan Bukayo Saka untuk mengambil sepakan penalti terakhir dalam aksi final Euro 2020 kepada Itali.

Roy Keane dalam ulasannya berkata pemain seperti Jack Grealish, Luke Shaw dan Raheem Sterling sepatutnya melangkah penuh berani demi negara bukannya meletakkan tanggungjawab berat dan tekanan ke atas bahu seorang pemain muda berusia 19 tahun.

“Jika awak adalah Grealish atau Sterling, awak tidak boleh duduk dan tengok seorang budak mentah berusia 19 tahun berjalan di depan awak untuk mengambil penalti penentuan. Awak bermain lebih banyak perlawanan antarabangsa, lebih berpengalaman sepatutnya berani menawarkan diri walaupun tahu ia tanggungjawab berat.

“Southgate mungkin nak letak Saka sebagai penendang keenam, ketujuh tapi bila tiada yang berani maka dia pilih Saka sebagai penendang kelima. Ini memalukan awak sebagai pemain senior,” ujar Roy Keane.

Membalas kritikan tersebut, Jack Grealish yang juga kapten Aston Villa berkata dia sememangnya ada menawarkan diri untuk mengambil sepakan tetapi Gareth Southgate yang membuat keputusan akhir.

“Saya ada bagitahu saya nak ambil satu penalti!! Southgate telah membuat banyak keputusan yang betul sepanjang kejohanan ini dan begitu juga malam ini. Tetapi saya tidak akan membiarkan orang kata saya pengecut dan tidak mahu ambil penalti padahal saya ada tawarkan diri,” ujar Jack Grealish.

Pada perlawanan di Stadium Wembley itu, perlawanan berlanjutan ke sepakan penalti setelah jaringan awal Luke Shaw dipadam oleh Leonardo Bonucci dan tiada tambahan jaringan sehingga tamat 120 minit permainan.

Dua minit sebelum tamat perlawanan, Gareth Southgate memasukkan Marcus Rashford serta Jadon Sancho menggantikan Kyle Walker dan Jordan Henderson semata-mata untuk menyepak penalti – satu lagi keputusan yang menimbulkan pertikaian hangat.

Setelah kedua-dua Marcus Rashford dan Jadon Sancho gagal menyempurnakan penalti, Bukayo Saka berpeluang menyamakan kedudukan setelah Jordan Pickford menyelamatkan sepakan Jorginho bagi memastikan England kekal dalam permainan.

Pemain Arsenal itu bagaimanapun tidak dapat menangani tekanan dan sepakannya diselamatkan Gianluigi Donnaruma sekaligus hasrat England menamatkan kemarau kejuaraan selama 55 tahun berkecai.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.