Griezmann tamatkan kontrak dengan Huawei berikutan penindasan terhadap etnik Uighur

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang Barcelona Antoine Griezmann membuat keputusan menamatkan kontrak penajaan jangka panjangnya bersama syarikat telekomunikasi terkemuka Huawei, susulan pembabitan mereka dalam penindasan terhadap etnik islam Uighur.

Firma penyelidikan berpangkalan di Amerika Syarikat, IPVM menerbitkan laporan bahawa Huawei bekerjasama dengan sebuah syarikat pengecaman wajah Megvii di dalam menguji satu sistem identifikasi yang boleh menentukan umur, jantina dan etnik seseorang melalui imbasan muka.

Perisian itu seterusnya akan menghantar isyarat kepada pihak polis jika ia mengesan rupa etnik Uighur.

“Berdasarkan bukti kukuh bahawa Huawei menyumbang kepada pembangunan ‘Uighur Alarm’ menerusi perisian imbasan muka, saya membuat keputusan menamatkan hubungan dan kerjasama bersama syarikat ini, dengan kadar segera.

“Saya meminta Huawei tampil menafikan dakwaan terhadap mereka ini, dalam masa sama melaksanakan satu tindakan secepat yang mungkin untuk mengutuk penganiayaan dan penindasan besar-besaran ini seterusnya menggunakan pengaruh mereka untuk memperjuangkan kemanusiaan serta kesaksamaan dalam kalangan masyarakat,” kata Griezmann, pemenang Piala Dunia 2018 bersama Perancis.

Huawei telah mengesahkan bahawa dokumen yang mendedahkan kaitan mereka dengan ujian imbasan muka Megvii adalah tulen tetapi menyatakan bahawa ia hanyalah ujian, dan bukannya aplikasi sebenar.

“Huawei hanya membekalkan produk keperluan umum untuk ujian seperti ini, kami tidak menyediakan algoritma atau sebarang aplikasi khusus,” menurut kenyataan syarikat China itu.

Manakala jurucakap Megvii pula memberitahu perisian yang dibangunkan itu bukannya bertujuan untuk mensasarkan atau melabel kumpulan etnik.

Sebagai rekod, Griezmann bukan pemain pertama untuk tampil bersuara mengenai penindasan terhadap etnik Uighur. Sebelum ini tonggak tengah Arsenal, Mesut Ozil telah melakukan perkara sama dan akibat daripada tindakan itu menyebabkan karier Ozil di Emirates berkubur.

Baca : Beberapa jam selepas selamatkan maskot, karier Ozil di Arsenal berakhir

Baca : Mesut Ozil berjanji akan tetap bersuara demi kemanusiaan dan keadilan

Dia langsung tidak diturunkan dalam baki saingan Liga Perdana Inggeris 2019/2020 yang bersambung pada Jun lalu, malah tidak didaftarkan dalam skuad EPL mahupun Europa League bagi musim 2020/2021, disisihkan atas pelbagai alasan yang tidak masuk akal.

Foto kredit : Barcelona FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.