Hafiz Hashim tidak pernah salahkan peminat atas ekspetasi tinggi yang diletakkan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Nama Hafiz Hashim cukup diingati peminat badminton tanah air atas kejayaan sensasi memenangi kejuaraan All England pada 2003.

Dia yang ketika itu baru berusia 20 tahun dan merupakan pemain bukan pilihan melakar kejutan apabila menundukkan pemain nombor satu dunia Chen Hong straight set sekaligus menoktahkan penantian panjang Malaysia untuk muncul juara acara perseorangan lelaki di kejohanan berprestij itu.

Baca : Kisah Hafiz Hashim, satu-satunya anak melayu tawan All England

Baca : Naik pening lawan Lin Dan, dia lagi pening lawan aku – Hafiz Hashim

Bertitik tolak dari kejayaan tidak diduga itu, nama Hafiz Hashim menjadi bualan, menjadi satu fenomena dan dikagumi dek kerana gaya permainannya yang tenang dan bersahaja.

Dari Nusa Mahsuri dia diserap ke dalam Persatuan Badminton Malaysia dan diangkat sebagai bintang dalam pembikinan, dilabel bakal menjadi pemain perseorangan nombor satu negara, malah ekspetasi lebih tinggi mula diletakkan oleh peminat.

Namun begitu, ianya Lee Chong Wei yang naik pada waktu lebih kurang sama dengannya, yang lebih menonjol.

Hafiz Hashim All England Champion Hafiz Hashim tidak pernah salahkan peminat atas ekspetasi tinggi yang diletakkan

Di kala Lee Chong Wei mengorak langkah laju dalam karier untuk menduduki ranking nombor satu dunia untuk tempoh lebih enam tahun serta memenangi pelbagai gelaran termasuklah tiga pingat perak Sukan Olimpik sehingga saat menoktahkan karier pada 2019, Hafiz Hashim pula sebaliknya.

Dia bukanlah terus hilang dari radar, masih lagi kompeten dan memenangi beberapa kejuaraan lain antaranya Terbuka Swiss, Terbuka Thailand dan Terbuka Belanda pada 2005 selain Terbuka Filipina 2006 namun tidak dapat mencetus impak di kejohanan besar, menyebabkan peminat membuat pelbagai andaian mengenai prestasinya yang suram dan kekal di tahap sama.

“Kalau diikutkan, kemerosotan tu tidaklah terlalu mendadak. Selepas menang All England tu, saya ada memenangi gelaran lain tapi saya akui ramai peminat yang mula mengharapkan saya menang kejohanan lebih besar seperti juara dunia, juara olimpik dan lain-lain.

“Memang saya tahu macam-macam andaian dibuat tentang prestasi saya, ada yang kata saya tidak komited, tidak jaga disiplin dan terbuai dengan kejayaan di All England.

“Macam-macam andaian dibuat kerana itulah peminat, kita tidak boleh nak salahkan mereka, mereka hanya ingin lihat pemain Malaysia menjadi juara. Bila menang dikira bagus, bila kalah je tak bagus.

“Walhal kita sebagai pemain, mana ada yang ingin kalah, semua orang nak menang tapi itulah sukan badminton, pasti ada yang kalah dan menang, bukan macam bola, ada seri,” kata Hafiz Hashim kepada LabolaMalaya.

Pemain kelahiran Kelantan itu juga menekankan bahawa bergelut dengan kecederaan tumit menjadi satu faktor yang menjejaskan prestasinya.

Dia yang pernah memenangi pingat emas Sukan Komanwel Manchester 2002 menoktahkan karier sebagai pemain pada 2016 dan selepas itu terjun ke bidang kejurulatihan.

“Selepas menjalani pembedahan tumit pada 2012, saya cuba untuk bangkit semula dalam perseorangan lelaki, namun ia kelihatan agak sukar. Saya tetap mahu bermain badminton dan cuba beraksi dalam acara beregu lelaki tapi tidak dapat melangkah jauh.

“Kekurangan latihan dan faktor umur mungkin menjadi halangan dan saya ambil keputusan untuk menjadi jurulatih sepenuh masa saja,” katanya yang pernah membantu pasukan negara mara ke final Piala Thomas 2002.

Hafiz Hashim sebelum ini berperanan sebagai jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil membimbing pasukan B-18 kebangsaan bersama-sama Kwan Yoke Meng dan Poh Chai Boon bermula 2018 dan kini bertindak sebagai jurulatih pasukan B-15 kebangsaan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.