Hafizul Hakim buat laporan polis, saman penyokong RM5 juta

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penjaga gol Perak FC, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy berang namanya dikaitkan sebagai dalang insiden bendera Negeri Perak dikibar separuh tiang, sepertimana viral di media sosial pada Jumaat.

Insiden berkenaan berlaku di perkarangan Stadium Ipoh, ketika pemain-pemain Perak dilaporkan memboikot sesi latihan susulan isu tunggakan gaji yang cukup kritikal.

Seperti yang kita semua sedia maklum, bendera dikibar separuh tiang lazimnya apabila berlaku kemangkatan ataupun sedang berkabung.

Justeru itu, Hafizul Hakim telah membuat dua laporan polis di Balai Polis Sungai Senam dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi menafikan penglibatan pemain Perak FC dalam insiden turun bendera.

Selain itu, Hafizul Hakim juga mengemukakan saman RM5 juta ke atas seorang penyokong yang didakwanya sebagai individu bertanggungjawab menyebarkan fitnah itu.

Menjelaskan perkara itu kepada pemberita selepas Mesyuarat bersama pengurusan pasukan pada Sabtu, Hafizul Hakim berkata :

“Kebetulan saya menerima WhatsApp daripada rakan memaklumkan ada individu ini petik nama saya bahawa sayalah punca dan ketua yang membuatkan bendera itu turun separuh.

“Isu bendera separuh tiang ini kita tahu apa maknanya, jadi bila libatkan saya dan pemain-pemain, saya tak boleh duduk diam.

“Kami masuk stadium jam 9.30 malam dan keluar jam 11 malam, ketika itu keadaan bendera sudah berada dalam keadaan separuh tiang.

“Jadi kami tak tahu siapa yang lakukan dan pemain semua tidak terlibat langsung dalam perkara itu,” kata pemain berusia 28 tahun itu.

Tambahnya lagi, “Saya dah rujuk perkara ini dengan Pegawai Keselamatan Pasukan dan akan teruskan dengan saman fitnah terhadap individu itu sebanyak RM5 juta. Proses ini akan diuruskan oleh peguam.

“Secara terus terang saya tidak mengenali individu itu, tetapi dia salah seorang penyokong dan saya tahu dia antara orang yang paling aktif maki saya dalam media sosial.

“Saya boleh terima orang tak suka dengan saya, tetapi jangan sampai buat tuduhan melulu sebegitu, ia tuduhan yang terlalu berat buat saya,” katanya.

Mengenai dakwaan pemain-pemain memboikot perlawanan, Hafizul Hakim berkata tindakan tersebut lebih kepada memberi isyarat kepada pengurusan pasukan agar serius menyelesaikan tunggakan gaji.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.