Hairuddin : “Nampak kurang cerdik kalau terus gugurkan Liridon, De Paula”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas kapten skuad kebangsaan, Hairuddin Omar mengakui sangat kecewa dengan prestasi dua pemain naturalisasi baru, Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berakhir Rabu lalu.

Dua pemain itu menjadi sasaran kecaman hebat berikutan prestasi hambar dan gagal membawa impak sehingga ada gesaan supaya mereka digugurkan dan tidak dipanggil untuk tugasan seterusnya, malah ada yang menyifatkan tindakan menaturalisasikan mereka hanyalah pembaziran.

Hairuddin bagaimanapun berpendapat kedua-dua pemain itu perlu diberi peluang kedua, bukannya terus digugurkan sambil menyifatkan tindakan sebegitu adalah kurang bijak.

“Saya memang tidak berpuas hati, apabila menjadikan mereka naturalisasi, kita sebagai peminat negara pastinya mengharapkan mereka dapat memberi lebih kebaikan, memberi lebih daripada pemain tempatan tetapi sebaliknya. Di pihak kita harus mengkaji sebaik-baiknya.

“Tetapi untuk mengetepikan terus De Paula dan Liridon adalah (satu tindakan) yang kurang tepat sebab kita dah beri mereka (status) warga negara.

“Jadi kita harus gunakan khidmat mereka sambil mengharapkan mereka dapat memberikan persembahan terbaik.

“Kalau terus gugurkan mereka daripada pasukan kebangsaan memperlihatkan kita ini seperti kurang cerdik, hanya tidak menyerlah dalam tiga perlawanan, kita terus membiarkan mereka,” kata Hairuddin Omar.

Hairuddin Omar yang pernah beraksi antaranya dengan Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Kelantan turut berharap agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) lebih tegas di dalam memilih pemain yang betul untuk dinaturalisasikan, bukan semata-mata kerana cukup syarat lima tahun.

“Untuk mengambil lebih ramai pemain naturalisasi, saya harap pihak yang terlibat kaji sebaik-baiknya apakah kelebihan yang kita akan dapat.

“Contohnya kalau ambil (Gonzalo) Cabrera, kita perlu fikir adakah dia mampu membantu pasukan tempatan, adakah aksinya lebih baik berbanding pemain tempatan, mampu membuat sesuatu untuk kita di peringkat antarabangsa. Kalau setakat cukup syarat lima tahun, saya tidak bersetuju.

“Pemain naturalisasi berlaku di mana-mana sekalipun, malah di Jepun dan Sepanyol, tapi kalau hendak ambil pemain naturalisasi, biarlah ambil yang berpotensi, lebih muda agar dapat membantu pasukan negara selama 10 tahun.

“De Paula dan Liridon mungkin sudah tidak bermain di peringkat tertinggi dalam masa setahun dua lagi.

“Apa yang kita dapat? Selama dua tahun kita hanya dapat sumbangan yang tidak seberapa, saya berpandangan kalau mahu ambil pemain naturalisasi biarlah boleh bantu pasukan negara meningkat.

“Dalam masa sama, pembangunan pemain tempatan di peringkat akar umbi harus diperkasakan, diperhebatkan. Hanya JDT dan beberapa kelab sahaja yang dilihat begitu serius sementara yang lain tiada apa-apa.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.