Hairuddin Omar Dedahkan Sisi TMJ Yang Tidak Ramai Tahu

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim (Tunku Mahkota Johor, TMJ) diketahui sebagai pemilik kelab bolasepak yang paling berjaya dalam Liga Malaysia sejak beliau mengtransformasikan Johor Darul Takzim (JDT) pada 2013.

Kejayaan demi kejayaan dilakar JDT menyaksikan beliau bukan sahaja dikagumi dan disegani dalam kancah bolasepak tempatan, tetapi turut membina reputasi yang begitu hebat di pentas global.

TMJ juga seringkali menegur perkara-perkara yang tidak betul, lantang bersuara dan sentiasa berterus terang dalam apa jua perkara tanpa berselindung menyebabkan apa sahaja yang diungkapkannya menjadi perhatian media mahupun penyokong.

Namun ada lagi sisi lain TMJ yang mungkin tidak diketahui ramai, sepertimana didedahkan oleh bekas pemain kebangsaan Hairuddin Omar.

Sambil mengakui cukup suka dengan sikap dan karakter TMJ yang dianggap selari dengan prinsipnya, Hairuddin Omar berkata TMJ cukup banyak melakukan kebajikan kepada pemain dan bekas pemain tanpa mengambil sedikitpun kredit.

“Saya kenal TMJ ni tak lah rapat sangat pun, cuma saya pernah ada pengalaman bekerjasama dengan beliau selama 3-4 tahun masa saya jadi Presiden PFAM (Persatuan Pemain Profesional Malaysia) dulu. Sedikit sebanyak saya dapat mengenali peribadi beliau. Masa tu selalu juga berhubung, kongsi pendapat tentang isu-isu babitkan pemain dan macam-macam lagi urusan.

“Yang paling saya salute (tabik) pasal TMJ ni, bila ada part yang orang dalam kesusahan, perlukan bantuan, beliaulah orang terawal yang akan hubungi PFAM untuk offer bantuan.

“Ingat tak dulu masa banjir besar dekat Manik Urai, Kuala Krai Kelantan? Puluhan ribu TMJ beri untuk kami (PFAM) uruskan terus bantuan ke sana. TMJ memang tak pergi, tapi selalu follow up tanya apa lagi yang boleh beliau bantu.

“Kalau bab bantu player susah, memang cepat beliau respon. Ada ketikanya beliau yang terlebih dulu bertanya kepada PFAM. Selalu TMJ minta laporan dan update setiap masa tentang status isu-isu gaji pemain yang tak dibayar. Bukan hanya pemain di era beliau sahaja, pemain-pemain lama era sebelumnya pun TMJ support juga.

“Ada 2-3 pemain tu, nak kena urus anak dan keluarga sakit kronik, serta merta TMJ tanggung penuh kos. Ratusan ribu kos pembedahan. Yang pemain ada masalah gaji, masalah nak survive, yang uzur memang cepat sampai bantuan daripada TMJ. Baik dari segi kewangan mahupun tekanan kepada pengurusan,” ujar Hairuddin Omar.

Bekas ketua pasukan skuad kebangsaan itu turut mendedahkan bahawa TMJ juga menghulurkan bantuan kewangan kepada banyak pasukan Liga Malaysia baik Liga Super mahupun Premier untuk mereka menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

“Sepatutnya itu bukanlah tanggungjawab beliau nak tolong bayarkan tunggakan gaji pemain daripada kelab lain. Tapi TMJ melakukannya.

“TMJ sendiri pun aktif salur dekat macam-macam yayasan, NGO, madrasah, pondok selalu je ada. Tapi cara dia la, bukan suka sangat nak letak posting gambar dia dalam program-program bantuan,” katanya lagi.

Hairuddin memberitahu, lebih mengharukannya, TMJ ada menghubunginya pada minggu lalu untuk bertanya khabar mengenai perkembangan perniagaannya (sambal DuoBotak) dan menyatakan hasrat mahu membantu perniagaan diusahakan bekas pemain.

“Sungguh terharu, mulianya hati TMJ. Yang bestnya beliau siap belanja gambar lagi dengan produk sambal DuoBotak. Dah la beliau cuma follow isterinya seorang sahaja di IG. Lebih terharu lagi, beliau kurniakan kepada saya dan Piya bantuan untuk kami kembangkan lagi bisnes sambal DuoBotak dengan lebih baik. Allahuakbar. Tak terkata dah. Alhamdulillah. Kepada Allah sahaja mampu bersyukur.

“Menjunjung kasih TMJ atas segala sokongan yang diberi. Sejak dari kenal di zaman ketika saya masih sebagai pemain, sehingga ke hari ini, TMJ masih orang sama, masih aktif, masih ambil tahu perkembangan bekas pemain walaupun di dalam diam,” kata Hairuddin.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.