Hajat Liverpool cipta rekod berkecai selepas tewas mengejut kepada Arsenal

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Liverpool gagal dalam misi mereka mencipta rekod baru kutipan mata tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, selepas tumbang mengejut 1-2 kepada pasukan tangga kesembilan, Arsenal awal pagi tadi di Emirates.

Selepas mengesahkan kejuaraan buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun pada awal bulan ini, sasaran skuad Jurgem Klopp yang seterusnya adalah memecah rekod 100 mata dipegang oleh Manchester City.

Mereka bagaimanapun mengalami kekalahan mengaibkan 0-4 di tangan Manchester City, namun sasaran mengutip lebih 100 mata dilihat masih mampu dicapai dengan syarat mereka menang lima daripada enam perlawanan berbaki.

Baca : Kapten Liverpool sasar tutup musim 2019/2020 dengan 107 mata

Namun dalam empat aksi selepas kekalahan kepada Manchester City itu, Liverpool hanya menang dua kali iaitu ke atas Aston Villa dan Brighton.

Mereka seri menentang Burnley 1-1 dan tewas buat kali ketiga musim ini kepada Arsenal walaupun menurunkan barisan utama malah terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Sadio Mane pada minit ke-20.

Jaringan Alexander Lacazette (m-32) dan Reiss Nelson (m-44) membantu Arsenal melakar kemenangan penting sekaligus membunuh cita-cita besar Liverpool – mereka kekal dengan 93 mata dan hanya boleh meraih maksimum 99 mata jika menang dua perlawanan yang berbaki.

Ini komen Jurgen Klopp selepas perlawanan.

“Kami berhak untuk kalah. Dua kali kami hilang konsentrasi dan membuat kesilapan besar.

“Kami bermain sambil lewa selepas kedudukan 1-0, kami bermain dengan begitu cemerlang di separuh masa pertama terutama sebelum gol terhasil, dengan mempunyai 24-3 percubaan, ia menakjubkan tetapi dua momen itu membunuh perlawanan ini.

“Arsenal sebenarnya tidak mempunyai peluang pun, satu percubaan pada minit akhir, anda tidak boleh memenangi perlawanan jika melepaskan gol seperti ini.

“Kami memperlahankan permainan, ianya jelas, kami hilang konsentrasi. Ia adalah Liga Perdana dan anda tidak boleh melakukannya. Virgil Van Dijk kehilangan bola tetapi saya tidak nampak ada yang cuba membantu, tiada siapa mahukan bola, ia tidak boleh diterima tetapi ini seharusnya menjadi pengajaran,” kata Klopp.

Kemenangan buat Arsenal bermakna mereka sah menamatkan musim di kedudukan top 10 dan masih berpeluang untuk mengintai kedudukan top 6.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.