Hakikat Perit Liga Malaysia, Teknik Asas Pun Masih Ada Yang Lemah – Wan Rohaimi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jurulatih muda yang semakin mencipta nama, Wan Rohaimi Wan Ismail mendedahkan hakikat perit betapa masih ada pemain tempatan di Liga Malaysia yang gagal menguasai teknik asas bolasepak dengan baik.

Wan Rohaimi membimbing pemain-pemain cilik dan merupakan antara tenaga pengajar terawal di dalam Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) di Akademi Mokhtar Dahari selama lima tahun sebelum berhijrah keluar menjadi jurulatih di Liga Malaysia.

Meskipun mengakui ia adalah dua cabaran berbeza, bekas pemain kebangsaan itu yang kini merupakan ketua jurulatih PDRM FC dalam satu temubual bersama Labola Malaya baru-baru ini menyatakan masih berdepan situasi yang sama seperti ketika dia berada di fasa pembangunan.

“Dalam fasa pembangunan kita berdepan pemain yang masih lagi segar, macam kain putih, kita jurulatih yang mengambil tanggungjawab mencorakkan kepada pemain, corak bagaimana yang kita kehendaki.

“Bila melangkah ke satu tahap yang lebih tinggi, fasa yang mementingkan keputusan tak kisahlah Piala Belia, Piala Presiden atau Liga Premier yang memerlukan keputusan segera, sepatutnya (cabaran itu) berbeza, tapi apa yang saya lalui, bila saya jumpa pemain umur 20, 21, masih lagi basic teknik yang lemah.

“Itu menunjukkan mereka tidak melalui proses pembangunan, atau ditekankan sistem belajar yang betul. Sepatutnya bila saya keluar daripada fasa pembangunan masuk ke profesional, sepatutnya saya tak jumpa pemain-pemain yang kita perlu perbetulkan teknik atau benda basic, tapi saya lalui benda itu.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya proses pembangunan pemain di fasa pembangunan, di fasa bermula umur 6 hingga 17 tahun, itulah zaman emas bagi pemain bolasepak.  Kalau zaman itu kita pandang enteng, kita tidak akan lahirkan pemain berkualiti,” kata pengendali berusia 45 tahun itu.

Sepanjang lima tahun bersama NFDP, Wan Rohaimi membina reputasi gah dan antara pencapaiannya adalah membawa skuad Malaysia B-13 menjuarai Piala Iber Costa Del Sol di Sepanyol serta membimbing pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil menjuarai Liga KPM B-14 pada 2016.

Beliau juga terlibat sebagai staff kejurulatihan skuad Malaysia B-16 yang beraksi di Piala AFC B-16 pada tahun 2018.

Sementara itu, Wan Rohaimi turut berkongsi pandangan mengenai penyertaan skuad Projek FAM-MSN dalam saingan Liga Premier musim ini.

Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia membenarkan pasukan yang dibarisi pemain-pemain berusia lingkungan 17 ke 20 tahun itu bermain di Liga Premier dikritik hebat termasuk oleh bekas ‘boss’ Wan Rohaimi sendiri, iaitu Lim Teong Kim yang beranggapan itu bukan cara betul untuk pendedahan dan pembangunan pemain.

Berita Berkaitan : Pembangunan Apa Benda Macam Ni, Hentikan Sebelum Mental Mereka KO – Lim Teong Kim

Sebagai jurulatih yang pernah terlibat dalam Program Pembangunan Pemain, Wan Rohaimi mengakui bermain di Liga Premier tekanan dan intensitinya adalah terlalu tinggi untuk pemain muda.

“Bagi saya secara peribadi, pernah terlibat dalam pembangunan pemain, saya kurang bersetuju (bermain dalam Liga Premier). Sepatutnya kalau mereka bermain dalam Piala Presiden, sesuai, kerana pada peringkat umur 18 atau 19 tahun kalau mereka bermain dalam liga yang ada pemain senior, pemain import, mereka akan berdepan kesukaran yang amat tinggi, dan ini akan membantutkan konfiden level mereka.

“Tapi mungkin pada hemat pihak MSN, pendapat mereka lain. Kita kena akur, tapi kalau tanya saya kurang bersetuju. Memang tak salah, tapi adalah lebih baik untuk bermain satu level di bawah, Piala Presiden untuk satu tahun satu tahun dan untuk seterusnya bolehlah kita angkat ke satu level ke liga lebih tinggi lagi.

“Kerana kita bayangkan sebagai pemain apabila berdepan cabaran yang sangat susah di game yang mungkin kita hadapi dua kali seminggu atau 3 kali seminggu, kadang-kadang mindset kita tak main pun takper lah. Benda tu la yang akan membantutkan keyakinan diri pemain, moral dan motivasi sedikit terjejas.

“Tapi keputusan sudah diambil dan kita patut akur dengan keputusan tersebut. Saya tengok pun prestasi ada peningkatan, syabas kepada Yusri Che Lah dan barisan jurulatih kerana usaha mereka dari awal musim boleh nampak berlakunya peningkatan.”

Pasukan Projek FAM-MSN mengakhiri saingan Liga Premier 2021 di kedudukan tercorot dengan mencatat satu kemenangan, tiga keputusan seri dan 16 kekalahan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.