Hakimi Abdullah : ‘Tak pernah saya terima pujian seperti ini sepanjang karier’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Nama Hakimi Abdullah menjadi sebutan selepas jaringannya membantu Terengganu FC melakar kemenangan sensasi ke atas Johor Darul Takzim pada minggu lalu, yang sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu Liga Super itu.

Dia memanfaatkan salah faham antara pertahanan JDT dan merampas bola sebelum merembat menewaskan Farizal Marlias dengan prestasinya menerima pujian penyokong.

Bintang muda kelahiran Kelantan itu mengakui belum pernah menerima pujian sebegitu sepanjang kariernya dan menganggap ia satu penghargaan untuk terus mencapai prestasi cemerlang apatah lagi ini merupakan musim pertama dia beraksi di kancah Liga Super.

Bintang muda berusia 22 tahun itu telah menjaringkan tiga gol setakat ini termasuk gol kemenangan ketika menentang Uitm FC dan Selangor FC namun dia tidak mahu cepat berpuas hati dengan prestasi semasa dan merasakan masih banyak perlu dilakukan untuk mencipta nama bersama Terengganu FC.

“Sebenarnya saya sendiri rasa tak percaya dapat bantu pasukan, dan perasaan dia memang berbeza kerana sebelum ini saya beraksi untuk negeri kelahiran, Kelantan dan sekarang berada di Terengganu, bukan senang pada awalnya nak berada dalam kesebelasan utama.

“Sekarang masa untuk saya kerja lebih kuat lagi sebab nak dapatkan kepercayaan lebih tinggi daripada jurulatih (Nafuzi Zain), sebab apa-apa sahaja boleh berlaku. Kalau dari segi pujian tu, saya memang ambil yang positif sahaja dan semestinya ia jadi pembakar semangat untuk saya terus berjuang selepas ini”, katanya.

Pemain kelahiran Kelantan ini juga tidak menolak keinginan untuk berada dalam kelompok penjaring terbanyak Liga Super musim ini meskipun sedar pemain import lebih mendominasi.

“Kalau sebelum ini, saya rasa macam susah sebenarnya nak jaringkan gol, jadi memang saya tidak letak sasaran apa-apa pun.

“Tapi, apabila saya sudah dapat sesuaikan diri dalam perlawanan demi perlawanan, dan selepas itu mampu meledak gol, saya akan cuba untuk raih lebih banyak jaringan dan mungkin kalau ada rezeki, dapat berada dalam kalangan penjaring terbanyak.

“Yang penting, sekarang adalah masa untuk saya cari seberapa banyak pengalaman untuk karier saya, dan berazam untuk bawa pasukan ini pergi lebih jauh”, tambahnya yang pernah mencuri tumpuan apabila meledak hatrik ketika Kelantan membelasah UKM FC dalam saingan Liga Premier musim lalu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.