Hamidin buat kejutan umum lepas jawatan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin membuat kejutan apabila mengumumkan akan melepaskan jawatan sebagai Presiden Malaysian Football League (MFL), selewat-lewatnya selepas Hari Raya Aidilfitri.

Bercakap pada pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM ke-57 pada Sabtu, Datuk Hamidin menganggap ini adalah waktu paling sesuai untuknya berundur walaupun mendapat sokongan daripada Ahli Lembaga Pengarah untuk kekal menerajui MFL.

Alasan utama beliau adalah mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada FAM.

“Saya buat keputusan ini tiada siapa yang tahu dan melakukan perbincangan bersama anak saya malam tadi kerana perlu memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak, bola sepak wanita, futsal dan akar umbi.

“Saya akan lakukan penstrukturan semula MFL dan jika semuanya berjalan lancar serta tiada masalah akan serahkan kepada individu yang dipilih Ahli Lembaga Pengarah.

“Buat apa saya tamak semua ini, jika saya mahu MFL, saya akan tinggalkan FAM kerana ketika awal ambil jawatan itu (presiden) mahu stabilkan sebelum serahkan kepada individu yang layak.

“Seseorang perlu bawa MFL lebih tinggi. Ini masa sesuai untuk dapatkan lebih banyak penaja.

“Apa yang ingin katakan juga presiden nanti bukanlah datang daripada FAM kerana Ahli Lembaga Pengarah yang akan pilih.

“Ada orang tanya kenapa ambil jawatan itu (Presiden MFL) namun saya katakan ketika itu ambil atas dasar ingin naikkan bola sepak dan membantu memastikan lebih teratur,” kata Datuk Hamidin yang memegang tampuk pimpinan MFL sejak 2019 menggantikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim.

Sementara itu, Datuk Hamidin yang kekal sebagai Presiden FAM bagi penggal 2021-2024 meletakkan penanda aras buat setiap ahli jawatankuasa (Exco) FAM yang baru bagi memastikan mereka memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

“Satu report card (kad laporan) baharu akan diperkenalkan untuk setiap Exco FAM kali ini yang mana mereka perlu memenuhi setiap KPI yang ditetapkan dan perlu diserahkan pada kongres tahunan.

“Situasi ini diambil bagi memastikan semua Exco melakukan tanggungjawab mereka dengan sempurna sekali gus tidak goyang kaki dengan amanah diberikan oleh ahli gabungan dan peminat,” ujarnya.

Beliau juga mengakui tidak dapat menahan sebak apabila diberikan kepercayaan penuh oleh Ahli Gabungan FAM untuk meneruskan mandat menerajui kepimpinan FAM hingga ke tahun 2025.

“Saya tidak tahu kenapa boleh keluar air mata ketika persidangan hari ini tetapi saya akui sangat terharu dengan komitmen yang diberikan oleh semua pihak kerana percaya atas kewibawaan saya untuk kekal sebagai presiden bagi penggal 2021-2025,” tambah Datuk Hamidin.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.