Hamidin catat sejarah lagi, Presiden FAM pertama dilantik Chef De Mission Sukan SEA

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Datuk Hamidin Mohd Amin melakar satu lagi sejarah dalam arena sukan tempatan, setelah dilantik sebagai Chef De Mission Sukan SEA 2021 sekaligus menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang pertama untuk mengetuai kontijen negara di temasya dwitahunan itu.

Pelantikan itu diumumkan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohd Norza Zakaria selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM dengan menyatakan bahawa pemilihan Datuk Hamidin itu berdasarkan kepada kemampuan dan pengalamannya menerajui FAM.

“Kita memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai daya kepimpinan tinggi, mempunyai pengalaman luas, tahu keseluruhan proses dari segi pentadbiran sukan, pemilihan atlet, dan juga hands-on kepada kontijen negara.

“Walaupun kita selalunya beranggapan Sukan SEA adalah sukan persahabatan, tapi kita selalunya akan hantar satu kontijen yang besar. Kita rasa sebagai pemimpin satu organisasi sukan yang besar seperti FAM, Hamidin merupakan calon sesuai untuk menjaga kontijen besar ini,” kata Tan Sri Norza.

Umum mengetahui Datuk Hamidin sebelum ini mencatat sejarah sebagai ‘orang biasa’ pertama untuk dilantik sebagai Presiden FAM pada tahun 2018 dan ini hanyalah satu lagi milestone dalam perjalanan kariernya.

Berita berkaitan : Dari pekerja bank jadi orang no.1 bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin buktikan ia bukan angan Mat Jenin

Individu dari pelbagai latar belakang dan pemimpin pelbagai persatuan telah memimpin kontijen negara sejak penyertaan pertama di Sukan SEA 1959 tetapi tidak pernah ada ‘orang bola’ dan Datuk Hamidin sendiri menganggap ia sebagai satu penghormatan kepada industri bolasepak tanah air.

“Pelantikan ini bukan saja penghargaan besar buat saya tetapi penghormatan buat FAM dan industri bolasepak secara umumnya. Sememangnya satu tugas yang berat tetapi amanah perlu saya galas sebaik yang mungkin.

“Dengan sokongan MOM, MSN dan anggota urus setia, saya yakin kita dapat beri sokongan yang kuat kepada semua ahli kontijen negara untuk berdepan Sukan SEA,” kata Datuk Hamidin.

Antara yang pernah dilantik sebagai Chef De Mission kontijen negara ke Sukan SEA adalah Datuk Sieh Kok Chi (1999); Datuk Wira Mazlan Ahmad (2001); Norminshah Sabirin (2003); Datuk Low Beng Choo (2005); Datuk Zainal Abidin Ahmad (2007); Datuk Dr Ramlan Aziz (2009); serta Datuk Naim Mohamad dan Syed Mustafa Syed Ali pada 2011.

Tan Sri Norza Zakaria sendiri pernah menjadi Chef De Mission bagi edisi 2015 manakala bagi edisi terakhir di Filipina pada 2019 tanggungjawab itu digalas Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.