Hamidin : ‘Itu cuma pandangan Khalid Ali, yang lain semua gembira’

Datuk Hamidin
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) nampaknya tidak berminat melayan kritikan Khalid Ali terhadap pelantikan Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, badan induk itu bukannya melantik ketua jurulatih secara tangkap muat sebaliknya melalui satu proses panjang dan penilaian yang terperinci, justeru kritikan Khalid Ali yang mempersoal kelayakan bekas jurulatih Kelantan itu dilihat tidak berasas.

Baca : Khalid Ali bidas pemilihan Yusri Che Lah yang gagal bersama KL dan Kelantan

“Jawatankuasa Teknikal FAM dan MSN sudah mesyuarat dan temuduga. Jurulatih ini kita tak boleh nilai dengan dia bintang (atau tidak). Contohnya Zainal Abidin Hassan, dia bintang, ada masa dia cemerlang bawa Pahang dulu juara, tapi ada masa dia menurun.

“Ini bukan kita boleh kira semua, tapi Yusri saya rasa banyak pihak pun gembira (dengan dia), jadi bagi dia peluang. Itu cuma pandangan Khalid Ali, tapi kita sudah buat proses temuduga dengan MSN dan teknikal semua, jadi (kita) pilih dia,” kata Hamidin pada sidang media selepas mesyuarat rakan kongsi liga ke-4 di Putrajaya, pada Rabu.

Khalid Ali sebelum ini lantang mempersoal kelayakan Yusri Che Lah untuk membimbing barisan pemain Projek FAM-MSN kerana menurutnya jurulatih itu tidak mempunyai sebarang rekod menarik untuk dibanggakan berikutan kegagalan bersama Kuala Lumpur dan Kelantan.

Tambahnya, struktur kejurulatihan dan pentadbiran pasukan itu sewajarnya diisi individu lebih berkelayakan dan berpengetahuan tinggi dalam soal pembangunan bolasepak.

Sementara itu, Hamidin juga tidak bersetuju dengan pendapat bahawa penyertaan skuad Projek FAM-MSN di Liga Perdana 2021 sebagai tidak sesuai dengan tahap umur dan boleh membunuh karier pemain.

“Semua kena faham sama ada projek Harimau Muda dulu, atau skuad projek FAM-MSN ini bukan nak lihat gagal atau tidak. Kita nak melahirkan berapa ramai (pemain) boleh naik cepat ke pasukan kebangsaan.

“Bila pemain ini bermain juga di peringkat antarabangsa, satu atau dua tahun kita nak lahirkan tiga atau empat orang Safawi Rasid, kalau tidak pun setaraf dengan dia.

“Ini satu projek yang baik, kalau dapat lahir satu dua pemain yang naik dengan cepat bermain untuk pasukan kebangsaan pada usia 21 atau 22 tahun, maknanya sudah berjaya program ini. Bukan program ini nak kejar menang Liga Perdana,” kata Hamidin.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.