Hamidin : Kelab Perlu Pemain Import, Pakai Semua Lokal Adalah Langkah Ke Belakang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menganggap kehadiran pemain import dalam sesebuah pasukan adalah penting jika mereka mahu memberi cabaran serius dan pergi lebih jauh dalam saingan Liga Malaysia.

Menurut beliau, tiada masalah jika ada pasukan seperti pasukan PJ City mahu menggunakan khidmat pemain tempatan 100 peratus, tetapi menganggapnya sebagai langkah ke belakang.

“Kita perlu lihat, kelab yang mahu bertanding dalam liga ini, mereka ada KPI (petunjuk prestasi utama). Ada yang nak bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC, Piala AFC, jadi mereka perlu ada pemain import,” ujarnya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dengan FAM bagi mengukuhkan kerjasama dalam usaha konservasi Harimau Malaya di Wisma FAM pada Jumaat.

Sebagai rekod, PJ City pada musim ini mengambil langkah berani mempertaruhkan sepenuhnya kudrat pemain tempatan atas alasan mahu menjimatkan kos. Di sebalik tiada kelibat pemain import mereka berjaya mengakhiri saingan Liga Super di kedudukan ketujuh.

Tindakan mereka juga membantu pemain-pemain tempatan untuk mendapat lebih minit permainan, malah lebih membanggakan tiga pemain pasukan itu dipanggil ke kem kebangsaan iaitu Darren Lok (digugurkan kerana kecederaan), R.Kogileswaran dan penjaga gol Kalamullah Al Hafiz.

Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata FAM tidak akan menghalang mana-mana kelab Liga Malaysia yang mahu menaturalisasikan pemain masing-masing.

Katanya, walaupun badan induk itu menangguhkan sementara proses naturalisasi pemain untuk pasukan kebangsaan, kelab Liga-M masih boleh meneruskan usaha itu sekiranya mencukupi syarat.

“Kita (FAM) nak melihat keberkesanannya (naturalisasi untuk skuad Harimau Malaya) pada masa akan datang. Kalau sekarang ini ada mana-mana kelab ingin menaturalisasikan pemain mereka, terpulang kepada mereka kerana pemain-pemain ini akan bermain untuk kelab,” katanya.

Beberapa pemain dijangka akan dinaturalisasikan oleh kelab mereka tahun depan termasuklah Lee Tuck dan Sergio Aguero (Sri Pahang) manakala pemain seperti Romel Morales (KL City) dan Gonzalo Cabrera pula boleh dinaturalisasikan pada 2023.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.