Hanya ahli keluarga, gambar yang viral itu tidak betul

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Susulan viral video dan gambar dari instastory eykafarhana yang menunjukkan kehadiran penyokong dalam bilangan yang ramai ke Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat, Malaysian Football League tampil dengan penjelasan.

Baca : Eyka Farhana – ‘Saya ambil video dari ahli keluarga, jangan salah faham’

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Dato’ Ab Ghani Hassan menafikan tentang gambar yang viral itu sebaliknya memberitahu hanya ahli keluarga pemain sahaja yang hadir, itupun dengan skala kecil.

“Saya menyangkal di mana terdapat satu gambar tular yang menunjukkan peminat masuk ke stadium beramai-ramai dan itu adalah perkara tidak benar.

“Ini kerana tidak ada mana-mana peminat masuk dan hanya ahli keluarga pemain JDT berskala kecil sahaja berada dalam stadium selain pegawai-pegawai yang bertugas dalam stadium,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memberitahu kemasukan ahli keluarga pemain berjumlah tidak melebihi 100 orang telah dimaklumkan kepada JDT oleh pengendali Liga Malaysia itu.

“Oleh kerana perlawanan ini merupakan perlawanan yang menentukan juara CIMB Liga Super dan akan diadakan penyerahan piala liga, pihak JDT ada membuat permohonan rasmi dengan MFL untuk membawa sejumlah ahli keluarga pemain untuk memasuki stadium.

“Hasil perbincangan bersama setelah melihat struktur venue dan sambutan kejuaraan, MFL bersetuju untuk membenarkan bilangan ahli keluarga pemain berskala kecil dibawa masuk dengan mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) yang telah ditetapkan seperti pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dan penjarakan fizikal di dalam stadium,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani memberitahu kelulusan khas itu diberikan selepas melihat segala aspek pematuhan SOP khusus untuk kumpulan ahli keluarga pemain JDT ini telah dipatuhi sepenuhnya.

JDT mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut selepas menewaskan Sabah 4-1.

Safawi Rasid meledak dua gol manakala Diogo Luis Santo dan Leandro Velazquez masing-masing menjaringkan satu gol untuk kemenangan keenam berturut-turut skuad kendalian Benjamin Mora itu.

Ia juga merupakan aksi terakhir Safawi Rasid sebelum dia terbang ke Portugal pada Sabtu untuk menyertai Portimonense FC.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.