Hanya Terengganu FC Nampak Bersungguh Nak Jadi Macam JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas jurulatih skuad kebangsaan, B.Sathianathan berpendapat hanya pasukan Terengganu FC yang menunjukkan kesungguhan mengorak langkah meningkatkan tahap mereka untuk menjadi seperti Johor Darul Takzim.

JDT pada minggu lalu telah mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut, namun bukan sahaja pencapaian mereka dicemburui sebaliknya pelbagai aspek luar padang berkaitan kelab itu turut menjadi bualan.

Ini termasuklah pengurusan mereka yang profesional, stadium berkelas dunia, pusat latihan yang dilengkapi semua kemudahan dan paling penting bagaimana mereka bergerak konsisten dalam memastikan segala perancangan diterjemahkan dengan baik untuk membawa hasil yang diinginkan.

“Kejayaan JDT buat kali kelapan berturut-turut ini menunjukkan bahawa pasukan lain perlu berusaha lebih banyak lagi. JDT menunjukkan mereka jauh lebih bagus berbanding pasukan lain dengan berjaya jadi juara lebih awal walaupun liga berbaki tiga perlawanan.

“Jika pasukan lain lambat hendak bergerak, maka jurang tersebut akan makin besar dan JDT akan terus mendominasi liga untuk satu tempoh yang lama. Takkanlah JDT nak kena rendahkan standard mereka. Mereka akan tetap naik dan makin lama makin kuat sebab mereka beraksi di peringkat tertinggi terutama di Liga Juara-Juara AFC.

“Ramai orang cakap JDT boleh buat kerana duit banyak. Bukan itu isunya, pasukan lain juga ada dana, tetapi perancangan mereka tidak betul.

“Kita tengok bagaimana perancangan teliti dilakukan JDT dan sekarang kita dah boleh tengok pemain-pemain muda nampak dalam pasukan utama mereka.

“Itu menunjukkan JDT bukan hanya tumpukan kepada kejohanan, tetapi juga ada perancangan bola sepak yang teliti bermula di akar umbi. Ini kerana rangkaian bola sepak mereka memang lengkap dan pasukan lain kena berusahalah untuk merapatkan jurang.

“Untuk merapatkan jurang dengan JDT ini banyak perkara kena buat antaranya daripada segi infrastruktur, perubatan, kebajikan pemain dan sebagainya kena lengkap. Seperti Terengganu FC dah bermula dan mereka senyap-senyap bergerak.

“Kalau 10 tahun lalu bermain di Terengganu, pasukan perlu bermain di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan keadaan padang yang agak teruk. Tetapi, sekarang kita tengok macam mana perubahan yang mereka buat di Terengganu FC.

“Sekarang, mereka ada padang dengan rumput yang bagus, ada pasukan untuk pemain muda (Terengganu 2) dan ada juga akademi. Terengganu FC juga ketika ini berada antara kedudukan teratas liga walaupun mereka tidak mempunyai pemain yang boleh dikatakan bintang.

“Inilah perubahan yang orang nak nampak. Jika kita dapat lihat banyak pasukan sedia untuk membuat perancangan lebih bagus, maka saya percaya akan ada pasukan mampu tampil sebagai pencabar JDT,” kata Sathianathan kepada Sukan Sinar.

Pada hakikatnya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) sendiri pernah beberapa kali memuji Terengganu FC atas usaha berterusan mereka untuk terus bertambah baik, termasuklah usaha yang diambil Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu dengan menaik taraf padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada tahun lalu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.