Harimau Malaya ada terlalu banyak pilihan serangan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe mempunyai terlalu banyak pilihan pemain untuk dipertaruhkan di barisan serangan tetapi dia mengakui apa yang lebih penting adalah mendapatkan kombinasi paling mantap berdasarkan pilihan yang ada.

Penyerang sahaja sudah ada paling kurang lima pemain iaitu Shahrel Fikri Md Fauzi, Guilherme De Paula, Syafiq Ahmad, Luqman Hakim Samsudin dan Norshahrul Idlan Talaha manakala di posisi sayap ada pemain seperti Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh, Ramadhan Saifullah, Daniel Amier Norhisham, Faisal Halim dan Akhyar Rashid.

Ini belum dicampur pemain yang  belum pernah dipanggil seperti Liridon Krasniqi, Arif Aiman Hanafi dan Al Hafiz Harun.

“Pemain-pemain muda nampak bagus dan dilihat berjaya sesuaikan diri dan membina persefahaman yang bagus dengan pemain senior. Memang pilihan barisan depan terlalu banyak, belum termasuk pemain yang kita belum panggil untuk kem kali ini seperti Liridon dan saya akan memanggil serta memantau lagi pemain lain sebelum memuktamadkan skuad untuk baki aksi kelayakan.

“Tumpuan saya terarah kepada mencari gandingan yang terbaik, saya lihat berlaku persaingan yang sihat dan masing-masing menunjukkan komitmen untuk membuktikan mereka layak berada dalam pasukan, kerana masing-masing tahu tiada pemain yang dijanjikan slot automatik dalam pasukan,” kata Cheng Hoe.

Selain serangan, Cheng Hoe juga mengakui ada banyak pilihan untuk mengisi posisi tengah yang biasanya menjadi milik Brendan Gan – pemain itu akan menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning.

Skuad Harimau Malaya ketika ini menduduki tangga kedua Kumpulan G pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan sembilan mata dari lima perlawanan, dua mata di belakang Vietnam.

Thailand di tangga ketiga dengan lapan mata, manakala UAE di tempat keempat dengan enam mata (beraksi kurang satu perlawanan) sementara Indonesia di tangga tercorot tanpa mata.

Harimau Malaya yang sebelum ini telah meraih dua kemenangan ke atas Indonesia dan turut menewaskan Thailand akan mengharungi kesemua baki tiga aksi di Dubai, bermula dengan menentang UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.