Harimau Malaya dibelasah Kuwait dalam aksi pertama selepas 19 bulan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Malaysia kecundang 1-4 kepada Kuwait dalam perlawanan latihan yang berlangsung di 7he Sevens Stadium, Dubai pada lewat malam Ahad.

Ini adalah perlawanan pertama skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe dalam tempoh hampir 19 bulan, sejak kali terakhir beraksi ketika menewaskan Indonesia 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan November 2019.

Pada perlawanan tersebut yang berlangsung secara tertutup, Tan Cheng Hoe menurunkan Farizal Marlias di gawang sementara Rizal Ghazali, Aidil Zafuan Abd Radzak (kapten), Irfan Zakaria dan La’vere Corbin Ong bergandingan di tengah.

Nor Azam Azih, Syamer Kutty Abba dan Brendan Gan membentuk gandingan tengah, Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid di posisi sayap kiri dan kanan manakala penyerang naturalisasi Guilherme De Paula sebagai penyerang tunggal.

Skuad negara ketinggalan pada minit ke-21 selepas rembatan deras kaki kiri Ahmad Aldhefeery dari luar kotak penalti gagal diselamatkan Farizal Marlias.

Guiherme De Paula yang bermain buat kali pertama dalam jersi Harimau Malaya, menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-28 selepas menyudahkan hantaran Corbin Ong dan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Tan Cheng Hoe membuat sembilan pertukaran sebelum bermula separuh masa kedua, dengan hanya De Paula dan Syamer Kutty Abba sahaja kekal manakala Adam Nor Azlin bertindak selaku ketua pasukan.

Harimau Malaya tampak lebih bernafsu memburu jaringan dan mendapat beberapa peluang dalam tempoh sepuluh minit pertama separuh masa kedua menerusi Luqman Hakim (m-48) dan Syafiq Ahmad (m-54) yang diselamatkan penjaga gol Kuwait.

Dalam kerancakan menyerang, gawang skuad negara dikawal Khairul Azhan Khalid bocor setelah Fahad Alhajeri menanduk masuk hantaran Eid Alrashidi pada minit ke-55 dan Shabaib Alkhaldi mengukuhkan kedudukan 3-1 pada minit ke-61.

Kapten Kuwait, Fahad Al-Alabraim menjadikan kedudukan 4-1 pada minit ke-68 selepas sepakan percuma derasnya gagal diselamatkan Khairul Azhan.

Penjaga gol Selangor itu kemudiannya dikeluarkan dan digantikan oleh Samuel Somerville pada minit ke-73.

Skuad negara berpeluang merapatkan kedudukan pada minit ke-89 menerusi percubaan kencang Arif Aiman Hanapi namun ia sedikit tinggi melewati palang gol, kedudukan 1-4 kekal sehingga wisel penamat.

Selepas ini skuad negara yang dalam persiapan untuk menghadapi baki tiga aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 akan menentang pula Bahrain dalam satu lagi perlawanan persahabatan pada 28 Mei, di Manama.

Foto : ehsan Football Association of Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.