Harimau Malaya dijangka boleh turunkan De Paula pada Jun 2021

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin membawa khabar gembira sebagai penutup tahun 2020 kepada penyokong bolasepak tanah air apabila mendedahkan penyerang import Perak, Guilherme De Paula akan bergelar pemain naturalisasi tidak lama lagi.

Ini sekaligus akan memberikan pemain berasal dari Brazil itu tiket untuk mewakili skuad kebangsaan Harimau Malaya, menyertai dua lagi pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh (Gambia) dan Liridon Krasniqi (Kosovo).

“De Paula, seperti yang kita jangkakan, akan lengkap lima tahun (bermain di Liga Malaysia) pada awal Mei depan manakala Liridon sudah selesai dinaturalisasikan pada 2019.

“Jadi kalau betul kita dapat De Paula, ia merupakan satu kelebihan buat pasukan kebangsaan,” kata Hamidin dalam Program Nadi Arena.

Sekiranya semua berjalan lancar, De Paula yang turut pernah bermain dengan Selangor, PDRM dan Kuala Lumpur dijangka boleh diturunkan seawal bulan Jun dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand pada 21 Jun sekaligus menjadi kekuatan tambahan buat Harimau Malaya.

Sebagai rekod, pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh telahpun menyarung jersi pasukan kebangsaan sejak tahun 2018 manakala Liridon Krasniqi yang mendapat kerakyatan pada April lalu pula masih menanti penampilan sulung selepas kesemua aksi membabitkan Malaysia ditunda tahun ini.

Hamidin bagaimanapun menegaskan buat masa ini tiada pemain lain yang akan dinaturalisasikan oleh FAM.

“Untuk mencari pemain import yang sudah bermain selama lima tahun (di Liga Malaysia) bukan senang. Tetapi (buat masa ini) FAM hanya setakat De Paula dan Liridon sahaja, untuk masa akan datang, kami masih belum membuat keputusan,” tambah Hamidin.

Sebelum ini pemilik Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberitahu dua pemain iaitu Gonzalo Cabrera dan Endrick Dos Santos juga akan mendapat kerakyatan Malaysia apabila lengkap tempoh lima tahun bermain di Liga Malaysia, manakala seorang lagi pemain yang berpotensi dinaturalisasikan adalah Romel Morales yang kini bermain dengan Kuala Lumpur.

Foto ehsan : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.