“Harimau Malaya Kalah Persahabatan Tak Semestinya Kalah Di Pertandingan Besar”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selepas melihat aksi Harimau Malaya dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan, bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail merumuskan pasukan kendalian Tan Cheng Hoe kini akan menjadi bertambah mantap.

Skuad negara tewas 0-4 kepada Jordan disusuli 1-5 kepada Uzbekistan namun Jamal Nasir melihat banyak perkara positif terutama pendedahan kepada pemain muda dan berpendapat kekalahan hanya menjadikan pasukan lebih kuat.

“Saya berharap peminat tidak terus menerus menuding jari menyalahkan jurulatih dan pemain. Tewas pada aksi persahabatan tidak bermakna akan gagal pada kejohanan sebenar,” katanya kepada BH Sukan.

Sebelum ini Jamal Nasir menyatakan bahawa beliau berbangga Harimau Malaya hanya tewas 0-4 kepada Jordan dan bukannya dengan jaringan lebih besar mengambil kira Tan Cheng Hoe sedang dalam proses menguji pemain-pemain baru selain tiada kelibat pemain-pemain tonggak dari JDT.

Manakala mengenai kekalahan kepada Uzbekistan, beliau menyifatkan ia kerana kelonggaran barisan pertahanan sepanjang 90 minit yang dimanfaatkan sebaik mungkin barisan serangan pasukan lawan.

“Saya juga dapat melihat bahagian tengah dan jentera serangan agak kurang menyerlah hingga gagal mencetuskan gerakan merbahaya ke kubu lawan. Mereka seolah terlalu sukar mengatur masuk ke kubu lawan.

“Bagaimanapun, secara keseluruhan saya dapati mereka tetap mampu beraksi dengan berkesan sepanjang perlawanan walaupun tewas besar kepada Uzbekistan,” katanya

Sementara itu Tan Cheng Hoe pula percaya dua kekalahan yang dialami telah memberi gambaran kepadanya mengenai kekuatan dan kelemahan pasukan, selain dapat melihat potensi yang ada pada pemain muda pada ketika dia sedang dalam proses membentuk pasukan mantap untuk Piala AFF.

“Sudah pasti sebagai jurulatih saya sentiasa berfikiran positif kita boleh dapatkan pasukan terbaik. Saya rasa mana-mana jurulatih di dunia pun kalau dia boleh kumpulkan pemain terbaik, dia pun tak boleh jamin akan menang keseluruhan.

“Pemain seperti Faisal Halim kita nampak secara keseluruhan menonjol dan kita nampak Aidil (Zafuan Abd Radzak) masih lagi ada impak dalam pasukan, begitu juga Baddrol Bakhtiar.

“Kedua-dua pemain senior ini menunjukkan satu karakter yang baik untuk bawa pasukan ke satu tahap yang terbaik. Keseluruhan ada beberapa pemain yang boleh dipertimbangkan untuk skuad Piala AFF dan kelayakan Piala Asia.

“Kita perlukan kerjasama dari semua pihak untuk pastikan skuad kebangsaan berada pada satu landasan terbaik dalam persediaan ke Piala AFF dan kelayakan Piala Asia,” katanya pada sidang media.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.