Harimau Malaya kehilangan khidmat Junior Eldstal

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Harimau Malaya dijangka kehilangan khidmat pemain pertahanan Junior Eldstal bagi baki aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berikutan kecederaan.

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe memberitahu pemain yang turut boleh beraksi sebagai pemain tengah bertahan itu mengalami kecederaan tendon achilles ketika perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu pada 4 Jun lalu.

Pada perlawanan itu, Junior Eldtal masuk di babak kedua untuk menggantikan kapten pasukan Aidil Zafuan Abd Radzak.

“Dia mengalami kecederaan ketika perlawanan namun tetap bermain sehingga habis perlawanan. Dia telah menunjukkan kekuatan mental dan motivasi yang cukup tinggi untuk membantu pasukan. Selepas perlawanan dia mengadu mengalami kesakitan dan setelah diperiksa, ia adalah kecederaan tendon achilles.

“Dia tidak dapat berjalan seperti biasa dan pasukan perubatan sedang berusaha untuk mengubati kecederaan tersebut,” kata Tan Cheng Hoe pada sidang media secara online bersama wartawan di Malaysia.

Meskipun tidak memberitahu berapa lama pemain itu akan tersisih, lazimnya kecederaan tendon achilles akan mengambil masa paling kurang beberapa minggu untuk pulih.

Sementara itu, Tan Cheng Hoe memberitahu suasana di kem harimau malaya kembali ceria dengan pemain-pemain mahu melupakan pengalaman pahit kekalahan 0-4 kepada UAE dan bangkit melakar kemenangan dalam baki dua perlawanan.

“Memang selepas perlawanan rata-rata pemain kecewa dan sedih tewas dengan jaringan besar, ia menjejaskan moral dan keyakinan, ekspetasi tinggi yang diletakkan tidak tercapai.

“Kini selepas dua hari, suasana kembali ceria, masing-masing mahu menebus kehampaan dan kesilapan, ada masa lebih kurang 4 ke 5 hari sebelum perlawanan berikutnya lawan Vietnam, kita masih mencari ramuan yang terbaik, saya sebagai jurulatih menaruh harapan tinggi kita dapat melakar keputusan positif,” ujarnya.

Susulan kekalahan kepada UAE, Malaysia tiada pilihan selain mencatat kemenangan ke atas Vietnam dan Thailand jika mahu meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya.

Harimau Malaya ketika ini di kedudukan keempat Kumpulan G, terikat sembilan mata dengan UAE dan Thailand, dan dua mata di belakang Vietnam. Bagaimanapun kedua-dua UAE dan Vietnam beraksi kurang satu perlawanan.

Lapan pasukan juara kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik akan melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022, dan mara beraksi di Piala Asia 2023.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.