Harimau Malaya Kekal Bawah FAM, Tak Jadi Bagi Kepada TMJ

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad Harimau Malaya akan kekal diuruskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meskipun sebelum ini Tunku Ismail Sultan Ibrahim ada menyatakan hasrat untuk mengambil alih pengurusan skuad itu.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Tunku Ismail bagi membincangkan perkara itu sejurus pulang dari Dubai selepas berakhir pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun lalu.

“Dalam pertemuan tersebut, kita sudah capai kata sepakat bahawa pasukan kebangsaan terus kekal di bawah FAM.

“Saya memahami perkara ini timbul mungkin kerana kekalahan kepada UAE (Emiriah Arab Bersatu) dan Vietnam. Tunku sebagai mantan presiden FAM, telah menyatakan beberapa perkara pada mesyuarat itu seperti pemilihan pemain, yang kita akan tambah baik pada panggilan seterusnya,” kata Datuk Hamidin pada sidang media online selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Selasa.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya tampil dengan prestasi mengecewakan di Dubai bermula dengan kekalahan 1-4 dan 0-2 dalam aksi persahabatan masing-masing kepada Kuwait dan Bahrain.

Selepas itu mereka kecundang 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu, tewas kepada Vietnam 1-2 dan menang satu perlawanan menentang Thailand dengan keputusan 1-0 dalam pusingan kelayakan.

Ia sekaligus menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe terlepas tiket automatik ke Piala Asia dan terpaksa mengharungi satu lagi pusingan kelayakan.

Ini membuatkan Tunku Ismail terpanggil untuk bersuara dan menawarkan diri untuk menguruskan pasukan kebangsaan dan memperbaiki apa yang patut.

Beliau tidak menjanjikan kejayaan segera tetapi berkata akan menyediakan mereka (skuad Harimau Malaya) fasiliti latihan dan jurulatih terbaik, dan memberi jaminan akan ada peningkatan.

Berita berkaitan : ‘Pemain Kebangsaan Cemerlang Di JDT Kerana Saya’ – Tunku Ismail
Berita berkaitan : Saya Adalah Terbaik Dalam Pengurusan Bolasepak, Bukan Riak Tetapi Fakta

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Datuk Hamidin menjelaskan bahawa Harimau Malaya terpaksa melupakan aksi persahabatan di kalendar FIFA bagi tempoh 30 Ogos hingga 7 September ini berikutan kekangan berkaitan peraturan kuarantin 14 hari.

Ujarnya FIFA hanya memberikan sembilan hari untuk mengadakan perlawanan antarabangsa bagi setiap jendela pada akhir Ogos, Oktober dan November, namun Harimau Malaya sukar mengadakan perlawanan jika tidak mendapat kelonggaran kuarantin.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.