Harimau Malaya lunyai dibelasah 4-0 oleh UAE

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Dua jaringan masing-masing oleh Ali Mabkhout dan Fabio Virginio De Lima menghadiahkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kemenangan 4-0 ke atas Harimau Malaya dalam aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, pada awal pagi Jumaat.

Kekalahan menyaksikan skuad Harimau Malaya tergelincir ke tangga keempat Kumpulan G, dipintas UAE serta Thailand yang mencatat keputusan seri 2-2 menentang Indonesia dalam satu lagi perlawanan.

Ketiga-tiga pasukan – UAE, Thailand dan Malaysia mengumpul sembilan mata.

Perlawanan di Stadium Zabeel, Dubai menyaksikan Tan Cheng Hoe memberikan pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium Dion Cools kap sulung dalam jersi Harimau Malaya, menggandingkannya bersama Aidil Zafuan Abd Radzak, La’vere Corbin Ong dan Matthew Davies di pertahanan.

Syamer Kutty Abba, Nor Azam Azih dan Liridon Krasniqi membentuk gandingan tengah, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh di sayap manakala Guilherme De Paula pula kembali menerajui jentera serangan.

UAE bimbingan Bert van Marwijk tampil dominan sejak awal permainan dan hampir mendahului pada minit ke-7 menerusi percubaan Khalil Ibrahim yang diselamatkan Farizal Marlias.

Skuad kebangsaan tampil lesu, bergelut sepanjang separuh masa pertama dan tidak dapat menterjemahkan aksi bertenaga sepertimana diharapkan malah prestasi beberapa pemain seperti Syamer, Liridon, Safawi serta Guilherme De Paula jelas mengecewakan penyokong.

Apa yang jelas kepincangan di barisan tengah cukup terserlah tatkala Safawi boleh dikatakan tenggelam terus, sementara De Paula bermain seperti tiada semangat.

Situasi ini dimanfaatkan UAE dengan baik dan mereka berjaya merebut pendahuluan pada minit ke-19 selepas Ali Mabkhout melepasi kawalan Aidil Zafuan dan menyambut hantaran jauh Abdala Ramadan, sebelum mudah menyungkit melepasi Farizal untuk gol pendahuluan.

Harimau Malaya cuba untuk memperbaiki prestasi di separuh masa kedua, dengan kemasukan Syafiq Ahmad dan Luqman Hakim namun kegagalan jentera tengah menguasai bola dan mencipta gerakan menyaksikan tiada apa yang dapat dilakukan.

Menuju 10 minit terakhir, UAE  dilihat bernafsu menggandakan serangan dan berjaya menjaringkan gol kedua menerusi percubaan Fabio De Lima pada minit ke-83, manakala Ali Mabkhout menjaringkan gol ketiga pada masa kecederaan, dan Fabio De Lima melengkapkan kemenangan 4-0 seminit kemudian.

Di sebalik aksi longlai Harimau Malaya, Farizal Marlias wajar diberikan pujian atas kecemerlangan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya, atau mungkin skuad negara tewas dengan jaringan lebih besar.

Aksi selepas ini, Malaysia sudah tiada pilihan selain menewaskan Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) jika mahu meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya.

Lapan pasukan juara kumpulan dan empat naib juara terbaik dari pusingan kedua kelayakan ini akan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia, dan Piala Asia 2023.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.