Harimau Malaya Memang Tidak Layak Untuk Ke Separuh Akhir – Zaquan Adha

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad Harimau Malaya diaibkan dengan kekalahan besar 1-4 oleh Indonesia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2020, yang sekaligus menutup peluang untuk mara ke separuh akhir.

Walaupun bermula dengan cemerlang setelah rembatan cantik Kogileswaran memberikan gol pendahuluan kepada Malaysia, dua jaringan Irfan Jaya dan satu masing-masing oleh Pratama Alif dan Elkan Baggott menghadiahkan kemenangan bergaya buat Indonesia.

Datang dengan sasaran untuk mara ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut, Malaysia akhirnya menamatkan kejohanan dengan menduduki tangga ketiga Kumpulan B, hanya lebih baik dari Laos dan Kemboja.

Turut berkongsi rasa kecewa dengan kekalahan memalukan itu adalah bekas kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd Radzak, yang menyifatkan Malaysia sememangnya tidak layak untuk pergi lebih jauh dalam edisi kali ini mengambil kira persiapan yang serba pincang.

“Memang cukup pedih, tetapi inilah realitinya, Malaysia memang tidak layak untuk pergi ke peringkat seterusnya. Tetapi kegagalan ini tidak seharusnya dibawa ke depan.

“Semua harus mengembleng tenaga untuk Harimau Malaya bangkit lebih garang, bukannya keji pemain mahupun jurulatih. Pemain-pemain yang dipanggil juga perlulah yang ada minit permainan tinggi,” kata Zaquan Adha yang merupakan tonggak ketika Malaysia mara ke final pada edisi 2018.

Sementara itu, ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui ketiadaan dua tonggak utama iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Saad antara punca pertahanan nampak terlalu goyah dan mudah diperkotak-katikkan pemain Indonesia.

“Sudah pasti ketiadaan dua pertahanan, Aidil dan Shahrul menjejaskan kestabilan di bahagian pertahanan, dan menyebabkan kita dibolosi gol mudah. Pemain Indonesia pantas menghukum kelemahan pertahanan kita dan sebab itu kita gagal walaupun mendahului pada awalnya.

“Tapi saya fikir secara keseluruhan kami sangat kecewa dengan keputusan dan kami harus bergerak ke hadapan,” katanya yang meletakkan Dion Cools dan Junior Eldstal di jantung pertahanan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.