Ketua jurulatih Bangladesh, Javier Fernandez tidak menganggap kekalahan pasukannya kepada Harimau Malaya dalam aksi terakhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada Isnin lalu adalah kerana ‘kecut perut’ dengan sorakan lebih 50,000 penyokong.
Sebaliknya, pengendali dari Sepanyol itu berkata aksi kelas berbeza dipamerkan anak buah Kim Pan Gon sebagai faktor kekalahan ketiga dialami pasukannya selepas terdahulu tewas kepada Bahrain dan Turkmenistan.
“Saya tidak rasa penyokong mempengaruhi sepenuhnya permainan pemain saya di atas padang, sebaliknya Malaysia memang beraksi dengan sangat baik.
“Sorakan mereka (penyokong) bukan satu perkara yang negatif kepada pemain saya kerana kami juga pernah melalui perkara sama ketika di Indonesia.
“Tapi suasana malam ini (di Stadium Nasional) sangat menakjubkan. Kami harus bekerja lebih keras untuk bangkit selepas ini,” katanya.
Bangladesh menamatkan saingan Kumpulan E di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata selepas tewas dalam semua tiga perlawanan.