Harimau Malaya Mungkin Terpaksa Lupakan Dion Cools

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelibat pemain pertahanan berpangkalan di Eropah, Dion Cools hampir pasti tidak dapat disaksikan di saingan Piala AFF 2020 yang akan berlangsung pada bulan Disember depan.

Ini kerana tonggak pertahanan skuad FC Midtjylland itu dijangka sukar untuk mendapat pelepasan memandangkan bulan Disember bukannya bulan rehat bagi liga-liga di Eropah selain mengambil kira Piala AFF bukan kejohanan utama di dalam kalendar FIFA.

Kemungkinan itu turut diakui pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe justeru dia bersedia menguji kombinasi baru di pertahanan lebih awal berbanding menunggu sehingga saat akhir.

“Disember ini mungkin sukar untuk kita bawa dia (Dion Cools). Bagaimanapun, setiap kali apa situasi seperti perlawanan persahabatan atau pertandingan, kita ada perancangan lain juga.

“Saya sentiasa terbuka memberi peluang pemain lain untuk berada dalam pasukan dan apabila pemain utama tiada disebabkan mengalami kecederaan atau penggantungan, kita masih ada pemain lain untuk mengisi kekosongan itu,” katanya kepada Arena Metro.

Dalam saingan Piala AFF yang akan bermula dari 5 Disember hingga 1 Januari depan itu, skuad Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan, Vietnam, Laos, Kemboja dan Indonesia.

Dion Cools yang membuat penampilan sulung ketika pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai Jun lalu disenaraikan Tan Cheng Hoe dalam call-up terbaru skuad kebangsaan bagi mengharungi jadual antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan pada Oktober depan.

Tan Cheng Hoe hanya mengekalkan 12 pemain dari kem latihan pusat terdahulu dan menyenaraikan enam muka baru iaitu Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi (penjaga gol PJ City); Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun (Penang FC); Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal (Selangor FC) serta pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah.

Enam pemain yang pernah dipanggil sebelum ini turut tersenarai iaitu Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United), Baddrol Bakhtiar (Kedah), Arif Fadzillah dan Faisal Halim (Terengganu FC), serta dua pemain KL City iaitu Kenny Palraj dan Akram Mahinan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.