Harimau Malaya Terima Padah Kerana Ikut Cakap Netizen

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad negara memerlukan pemain-pemain tonggak dari Johor Darul Takzim untuk memberikan tentangan, dan tanpa kelibat mereka Harimau Malaya umpama kehilangan belang.

Itu pendapat bekas jurulatih kebangsaan, B.Sathianathan selepas melihat Harimau Malaya dibelasah 4-0 oleh Jordan dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Rabu.

Tan Cheng Hoe tidak membawa pemain JDT seperti Farizal Marlias, Arif Aiman, Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh, Matthew Davies dan Corbin Ong bagi aksi antarabangsa kali ini sebaliknya memberi peluang kepada muka-muka baru untuk beraksi.

Sathianathan berpendapat tindakan itu dibuat Tan Cheng Hoe sebagai memenuhi kehendak penyokong yang sentiasa mempertikaikan kenapa terlalu ramai pemain JDT dipanggil manakala pemain lain yang bermain lebih baik tidak pernah disenaraikan.

Namun melihat pasukan kebangsaan bergelut ketika menentang Jordan, Sathianathan berkata ini membuktikan betapa jauhnya beza kualiti pemain-pemain baru ini dan ceritanya mungkin berbeza jika pemain tonggak dari JDT bermain pada perlawanan itu.

“Ini kenyataan, memang kita perlukan pemain JDT dan mereka adalah yang terbaik dari pasukan terbaik Malaysia. Memang jauh beza (prestasi Malaysia tanpa tonggak JDT), sangat ketara. Saya tak terkejut.

“Sudah terbukti, pemain yang dikutuk netizen inilah (barisan ketika kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun lalu) yang mengukuhkan Harimau Malaya, tidak boleh dinafikan.

“Jangan ikut sangat cakap netizen, biar orang yang berhak dalam bola buat keputusan. Kalau ikutkan cakap mereka boleh makan diri.

“Saya harap Harimau Malaya jangan peduli kata-kata netizen, mereka sudah buat yang terbaik. Hendak majukan bola sepak bukan sekelip mata. Ia mengambil masa lama,” kata Sathianathan kepada Utusan Malaysia.

Pada perlawanan di Stadium Raja Abdullah II itu, Jordan menjaringkan dua gol di separuh masa pertama dan menambah lagi dua di separuh masa kedua dengan memanfaatkan kesilapan-kesilapan mudah dilakukan pertahanan Harimau Malaya.

Empat pemain meraih kap sulung dalam perlawanan itu iaitu Arif Fadzillah, Mukhairi Ajmal Mahadi, Hakimi Abdullah dan Quentin Cheng manakala Baddrol Bakhtiar pula membuat penampilan semula selepas lama tersisih.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.